PETALING JAYA: Operasi menyelamat dan membawa keluar rakyat Malaysia yang terperangkap di Sudan kini memasuki fasa kritikal berikutan pergolakan di negara tersebut terus berlaku dan arahan gencatan senjata dicabul.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, arahan gencatan selama 72 jam diumumkan sebelum ini gagal dipatuhi oleh pihak tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF).
Kata beliau, Malaysia sedang giat menjalankan usaha membawa keluar rakyat negara ini daripada terus terperangkap dalam konflik yang melanda Sudan.
“Proses membawa keluar rakyat Malaysia di Khartoum kini memasuki fasa kritikal. Situasi keselamatan di Sudan masih dalam tahap bahaya kerana kedua-dua pihak yang bersengketa tidak menghormati gencatan senjata,” katanya ketika dihubungi Nexbyte.
Perang saudara antara pasukan tentera Sudan dengan RSF meletus semula di ibu kota dan bandar-bandar besar dengan krisis bermula apabila pihak tentera nasional menuduh RSF melakukan aktiviti menyalahi undang-undang.
Malah, dilaporkan, seramai 32 rakyat Malaysia di Sudan iaitu di tujuh lokaliti berada dalam keadaan selamat dan Jumaat lalu, dua warganegara di sana disahkan berjaya dibawa keluar serta dipindahkan ke lokasi selamat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memaklumkan Malaysia juga memohon bantuan daripada Jerman bagi membantu negara dalam usaha repatriasi warganegara di Sudan
Sementara itu, Zambry memohon seluruh Malaysia mendoakan keselamatan warganegara yang berada di Sudan dalam keadaan selamat dan misi membawa mereka keluar daripada negara tersebut berjaya.
Dalam perkembangan sama, penganalisis geostrategik tanah air, Dr. Azmi Hassan berkata, Kementerian Luar mungkin perlu mempertimbangkan misi evakuasi menerusi jalan laut berbanding melalui udara yang amat berisiko tinggi.
Menurutnya, langkah itu disifatkan lebih praktikal dan kurang bahaya malah dibuktikan Arab Saudi dalam operasi pada Sabtu lalu.
“Saya lihat pesawat amat tidak selamat untuk mendarat dan berlepas di ibu kota Khartoum bahkan banyak sudah dibedil oleh kedua-dua pihak bertelagah,” katanya ketika dihubungi.
Ribuan warga asing kini dilaporkan terperangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum setelah ditawan dan kesemua pesawat awam ditembak oleh militia RSF dan kumpulan separa tentera itu turut menakluk Kompleks Petronas Sudan yang menempatkan Kedutaan Malaysia dan dijadikan markas induk bagi menentang askar kerajaan.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, Pasukan Khas Wisma Putra tiada pilihan kerana perang dijangka berlarutan lebih teruk apabila gencatan senjata 72 jam bersempena Aidilfitri gagal.
“Jika dilihat negara-negara Barat yang hantar pesawat tentera ke Khartoum, bukan semua rakyatnya dapat diselamatkan kerana risiko cukup tinggi waima ada komando,” katanya.
Apatah lagi, pihak berkuasa penerbangan awam Sudan sudah mengumumkan penutupan ruang angkasa negara itu untuk laluan semua pesawat komersial sehingga 30 April ini.
Justeru ujar beliau, pilihan yang ada cuma menerusi laluan darat sepanjang 809 kilometer dari Khartoum ke Pelabuhan Sudan dengan kelazimannya mengambil masa lebih 11 jam.
Wisma Putra tambah beliau, boleh meminta bantuan pasukan tentera Sudan (SAF) untuk melindungi konvoi kenderaan membawa warga Malaysia menuju ke situ dengan selamat.
Tambahan pula, langkah sedemikian lebih baik serta pernah dilakukan ketika evakuasi di Ukraine tahun lalu dan misi pasukan peninjau bantuan kemanusiaan di Syria baru-baru ini.
Malaysia juga katanya, perlu meminta ihsan Arab Saudi bagi menggunakan kapal tentera laut dirajanya untuk ke Jeddah melintasi Laut Merah dengan jarak hanya 297 kilometer.
“Wisma Putra wajar tidak terlalu bergantung harap negara-negara Barat kerana rakyat Sudan diketahui cukup anti-Barat namun mereka menghormati Arab Saudi,” katanya.
Situasi itu kata Azmi, dapat dilihat apabila beberapa negara Eropah sendiri pun memohon bantuan Arab Saudi kerana yakin dengan imej negara itu amat disegani tinggi di Sudan.
Banyak negara bukan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga lebih percaya Arab Saudi bahkan kapal perang negara itu langsung tidak diserang ketika berlabuh di sana.
Kementerian Luar ujarnya berpengalaman luas melakukan misi repatriasi rakyat dan pernah melibatkan 99 buah negara ketika permulaan isu penularan wabak Covid-19 pada 2020.
Malahan, Wisma Putra mencipta sejarah menerusi Ops Piramid apabila berjaya membawa keluar 8,341 warga Malaysia dari Mesir ketika krisis politik di negara tersebut pada 2011.
Terbaharu pada tahun lepas, sedozen rakyat Malaysia selamat dipindahkan dari Ukraine menerusi jalan darat menuju ke Poland susulan pencerobohan skala besar tentera Rusia. – UTUSAN





