PETALING JAYA: Jabatan Kerja Raya (JKR) masih menjalankan siasatan kes runtuhan bumbung di dewan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jalan Duta dekat sini bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, pihaknya belum dimaklumkan punca sebenar kejadian runtuhan itu berlaku.
“Buat masa ini, JKR sedang menyiasat punca sebenar kejadian serta pemantauan di bangunan ini bagi memastikan ia selamat,” katanya ketika dihubungi Nexbyte di sini semalam.
Kelmarin, enam wanita berusia 30 hingga 50 tahun warga tempatan dilaporkan cedera ringan selepas keseluruhan bumbung dewan IKIM di Jalan Duta runtuh. Mereka semua kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.56 pagi.
Mohamed Azam dilaporkan berkata. ketika kejadian semua mangsa berada di dalam dewan berkenaan bagi melakukan persiapan latihan penganjuran Program Tribute Tan Sri Mohd. Kamal Hassan yang dijadualkan berlangsung semalam
“Mengikut jadual, latihan penuh acara itu berlangsung jam 12 tengah hari semalam yang saya turut sertai. Bagaimanapun, lima minit sebelum bermula, tiba-tiba bumbung dewan itu runtuh.
“Mangsa turun lebih awal ke dalam dewan dan mereka sempat menyelamatkan diri sebaik terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian siling dewan,” katanya. – UTUSAN





