MELAKA: Seramai 38,926 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 9,633 pasangan mereka yang akan terlibat dengan pengundian awal tidak dipaksa untuk mengundi calon tertentu dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 8 Ogos ini.
Panglima Tentera Darat, Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, mereka yang akan keluar mengundi nanti bebas memilih calon yang dirasakan boleh mentadbir negeri dengan baik.
“Masing-masing ada pilihan, tepuk dada tanya selera, kita tidak paksa untuk undi sesiapa tetapi mereka bebas memilih calon yang mereka rasa terbaik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKM TD) 2023 di Lapang Sasar 400M Kem Terendak di sini semalam.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut menyertai acara menembak jemputan kategori jatuh piring dan formasi.
Dalam pada itu Mohammad berkata, ATM turut bersiapsiaga menjelang hari pengundian pada 12 Ogos khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan panas di enam negeri.
“Kita bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengenal pasti tempat-tempat yang dijangka menjadi hotspot jika berlaku perkara yang tidak diingini,” ujarnya.
Di samping itu katanya, ATM turut melancarkan Ops Neraca bagi membantu pihak berkuasa jika diperlukan sepanjang PRN berlangsung.
Menurutnya, arahan telah dikeluarkan untuk anggota tentera bersiap-sedia bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara daripada sebarang kemungkinan tidak diingini sepanjang proses pengundian.
“Saya lihat trend sewaktu pilihan raya sebelum ini rakyat Malaysia sangat matang dan jika berlaku pertukaran kerajaan seperti 2018 tidak berlaku sebarang kekecohan dan huru-hara,” ujarnya. – UTUSAN






