PETALING JAYA: Pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini bukan hanya menyaksikan pertembungan antara dua gergasi gabungan politik negara bahkan menjadi medan kesinambungan legasi tokoh politik veteran tanah air.
Mana tidaknya, hampir di semua enam negeri yang terbabit dengan PRN disertai oleh anak-anak tokoh veteran politik tanah air bahkan ada antara mereka adalah ahli politik berpengaruh di dalam parti dipimpinnya.
Di sini timbul persoalan adakah penyertaan anak-anak tokoh tersebut adalah berdasarkan kelayakan masing-masing sehingga boleh disifatkan sebagai penyambung legasi atau pemilihannya berlandaskan ‘bin’ atau ‘binti’ calon tersebut sekali gus dianggap sebagai nepotisme.
Bercakap kepada Nexbyte, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berpendapat, telahan tersebut perlu diteliti mengikut kes memandangkan bukan semua perkara boleh dicopkan sebagai nepotisme.
“Ya perkara itu boleh dianggap sebagai nepotisme kerana setiap parti politik di negara ini di struktur dalam keadaan memberi laluan mudah kepada orang yang ada ‘kabel’ untuk naik ke atas. Ia adalah budaya feudal yang sudah lama berakar bukan sahaja terhadap orang Melayu bahkan kaum lain.
“Di dalam PKR juga ada, sama seperti ‘dinasti Lim’ dalam DAP. Di dalam UMNO seperti anak-anak ‘Bossku’ (merujuk kepada Datuk Seri Mohd. Najib Razak), mereka lebih mudah naik. Rangkaiannya (budaya feudal) sudah berantai,” katanya.

Bagaimanapun, pada masa sama Ahmad Fauzi beranggapan ada juga kes penyertaan anak-anak tokoh politik tersebut sebagai bukanlah nepotisme jika memenuhi beberapa syarat iaitu membuktikan berkelayakan dan mempunyai bakat untuk mewakili rakyat.
Jelasnya, ramai antara anak-anak ahli politik di negara ini menunjukkan bahawa mereka berkelayakan bahkan ada yang mempertajam lagi bakatnya untuk membuktikan mereka layak bukanya disebabkan nepotisme.
“Ada antara mereka yang menjadikan profil diri menjadi terbaik sekali gus mengikis stigma bahawa kehadirannya bergantung kepada ketokohan bapanya. Nepotisme tulen adalah apabila mereka tiada kelulusan, tidak layak, tidak berbakat tetapi dipilih menjadi calon semata-mata kerana anak orang tertentu,” katanya.
Menurutnya, sama ada perkara itu adalah nepotisme atau sebaliknya ia ditentukan oleh rakyat pada PRN akan datang.
“Jika calon tersebut ditolak, kita boleh menganggapnya rakyat menolak kerana itu adalah nepotisme berdasarkan tafsiran mereka kerana undi rakyat adalah indikator lebih luas,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar ketika dihubungi menolak telahan bahawa pemilihan anaknya, Nurul Syazwani sebagai calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Karang sebagai nepotisme sebaliknya, beliau pernah menasihatkan supaya anaknya tidak menyertai politik jika hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’.
Bahkan menurut Noh, sebelum anaknya menyertai politik, beliau melihat sendiri keazamaan Nurul Syazwani apabila membuka firma guamannya di Tanjung Karang untuk memberi perkhidmatan percuma kepada rakyat yang memerlukan seperti dilakukannya terdahulu.
“Sebelum dia memutuskan untuk menyertai politik saya pernah katakan kepadanya bahawa sebagai pemimpin, rakyat adalah nombor satu manakala keluarga jatuh ke nombor dua. Banyak aktiviti keluarga terpaksa ditangguh atau dibatalkan untuk mendahulukan kesusahan rakyat.
“Nepotisme itu jika bapanya memegang jawatan kemudian lantik anaknya. Dalam hal ini, ia bukan nepotisme kerana yang memilih calon (pada PRN) adalah rakyat. Keputusan rakyat itu kelak akan memberi cerminan terhadap bapanya juga.
“Jika bapanya buat kerja, rakyat puas hati pasti mereka akan sokong anaknya. Jika tidak, dia akan ditolak,” katanya.

Memberikan hujah berbeza, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berpandangan bahawa status Mohammed Firdaus sebagai anak kepada Speaker Dewan Rakyat dan bekas Ahli Parlimen Sungai Petani dengan pemilihannya sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di DUN Gurun adalah suatu kebetulan.
Sebaliknya kata Johari, beliau pasti pemilihan Mohammed Firdaus sebagai calon adalah berdasarkan tiga kriteria iaitu jawatan, kelayakan dan status pemimpin muda.
“Firdaus adalah Pengerusi PH Jerai. Dia mempunyai ijazah dan adalah barisan kepemimpinan muda. Itu sebab Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memilihnya sebagai calon. Tidak timbul isu nepotisme.
“Pemilihannya (sebagai calon) adalah cerminan hasrat Perdana Menteri untuk lihat lebih ramai belia melibatkan diri dalam parti kerana sudah tiba masanya anak muda meneruskan perjuangan (parti),” katanya.
Seorang lagi figura politik yang anaknya kini mengikut jejak langkahnya adalah bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim iaitu Danni yang dinamakan mewakili PN di DUN Klawang.
Beliau berkata, nepotisme bukanlah istilah dunia Melayu sebaliknya perkataan Inggeris namun dalam konteks politik menjadi calon adalah kuasa pucuk pimpinan dan konvensyen.
“Dalam dunia siasah, yang (perkara) pokok adalah kebolehan dan keterampilan. Pokoknya, ada bakat ada ilmu dan ada kesungguhan serta kewibawaan.
“Danni seorang peguam, lulusan Sarjana Undang-Undang Universiti Cardiff United Kingdom. Beliau juga Ketua Armada Negeri Sembilan dan Ketua Armada Bahagian Jelebu. (Dia) dipilih jadi calon pilihan raya negeri oleh pucuk pimpinan partinya.
“Apa salah jika dia dipilih partinya sebagai calon pilihan raya partinya. Bukan saya yang pilih,” katanya yang turut memberitahu bahawa anak mengikuti jejak langkah bapa adalah lumrah dalam kehidupan.
Selain ketiga-tiga tokoh tersebut, beberapa tokoh politik lain juga mempunyai ‘legasi’ apabila anak mereka turut dinamakan sebagai calon pada PRN depan, antaranya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; bekas Pengerusi DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad. – UTUSAN






