PUTRAJAYA: Sabah yang asalnya Borneo Utara diperoleh Kerajaan British secara undang-undang dan bukan melalui perjanjian dengan Kesultanan Sulu.
Pakar Perlembagaan dari Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, hak British ke atas Sabah diperoleh melalui Tauliah Sultan Borneo, Sultan Abdul Mumin ibni Almarhum Maulana Abdul Wahab pada 29 Disember 1877 yang melantik Baron de Overbeck, pemilik Syarikat British-Borneo Utara sebagai Maharaja Sabah, Rajah Gaya dan Sandakan.
“Tauliah bertarikh pada 29 Disember 1877 adalah keterangan kukuh bahawa pemilikan ke atas Sabah telah berpindah kepada negeri Sabah secara sah melalui kurniaan Sultan Borneo yang merupakan pemerintah berdaulat ke atas Sabah, Gaya dan Sandakan.
“Fungsi kedaulatan beserta milik tanah Sabah, Gaya dan Sandakan sudah terletak hak pada Gustavus Baron de Overbeck pasa 29 Disember 1877. Jika Perjanjian Pajakan antara Syarikat British-Borneo Utara dengan Kesultanan Sulu pada 22 Januari 1878 tidak berlaku sekalipun, ia tidak mengubah apa-apa pun,” katanya kepada Nexbyte di sini semalam.
Nexbyte semalam melaporkan perjuangan Malaysia untuk menoktahkan tuntutan Sulu bagi mempertahankan kedaulatan negara belum berakhir apabila waris kesultanan itu tetap bertegas mahu menuntut RM62.59 bilion (AS$14.9 bilion) walaupun gagal dalam tiga prosiding mahkamah sebelum ini.
Peguam waris Sulu, Paul Cohen berkata, tidak ada sebab mengapa waris kesultanan Sulu perlu berputus asa kerana keputusan mahkamah setakat ini hanya menetapkan anak guamnya tidak boleh mengutip hutang di satu negara iaitu Belanda.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, banyak asas untuk menolak tuntutan tersebut jika aspek sejarah perundangan dibahaskan, apatah lagi pihak penuntut Sulu tidak boleh sekali-kali mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu kerana Kesultanan Sulu tidak lagi wujud.
Pada masa sama, jelas beliau, tuntutan yang dikemukakan terhadap kerajaan Malaysia sehingga bertujuan menyita aset negara juga adalah salah pihak.
“Ini kerana apabila Perjanjian Malaysia 1963 ditandatangani, proses kuat kuasa Perlembagaan Negeri Sabah juga berlaku.
“Perlembagaan Negeri Sabah memperuntukkan sebarang tanah di dalam wilayah negerinya sebelum tarikh bermulanya kuat kuasa Perlembagaan itu yang terletak hak pada Ratu England, hendaklah diletakkan hak kepada negeri Sabah.
“Begitu juga segala hak, liabiliti dan kewajipan Ratu England berhubung dengan Kerajaan Koloni Borneo Utara juga berpindah kepada Sabah. Justeru, jika ada sebarang tuntutan perlu dikemukakan terhadap Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.
Wan Ahmad Fauzi berkata, pemilikan Sultan Borneo ke atas tanah Sabah, Gaya dan Sandakan adalah satu fakta yang tidak dipertikai oleh mana-mana pihak, berbeza dengan dakwaan Kesultanan Sulu.
Katanya, pemilikan Kesultanan Sulu ke atas Sabah hanyalah bersifat tuntutan yang dinafikan oleh Sultan Borneo kerana Kesultanan Sulu gagal memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Sultan Borneo yang pernah menawarkan tanah tersebut.
Lantaran itu, menurut beliau, pemindahan hak milik tanah Sabah kepada Kesultanan Sulu tidak berlaku lantaran Perjanjian Pajakan tersebut tidak mempunyai sebarang kesan undang-undang.
“Tanah Sabah, Gaya dan Sandakan sudah diserahkan hak kepada Gustavus Baron de Overbeck, malah beliau telah dilantik sebagai pemerintah tertinggi bagi wilayah tersebut mengikut adat Melayu Borneo.
“Oleh itu, boleh dikatakan Syarikat Borneo Utara-British memasuki Perjanjian Pajakan 1878 hanyalah helah untuk melindungi kepentingan di Borneo Utara daripada gangguan Kesultanan Sulu yang pada ketika itu sedang berkrisis dengan Kesultanan Borneo.
“Perjanjian tersebut tidak boleh dianggap sebab hak ke atas Sabah berpindah daripada Ratu England kepada Negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata, tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah boleh juga dinafikan kerana pada 22 Julai 1878, Sultan Sulu menyerahkan kedaulatan dan hak wilayahnya kepada Kerajaan Sepanyol.
Berikutan itu juga pada tahun 1885, Protokol Madrid ditandatangani antara United Kingdom, Jerman dan Sepanyol yang menyaksikan Sepanyol melepaskan semua tuntutannya ke atas Borneo.
“Iktibar daripada apa yang berlaku menunjukkan betapa sejarah perundangan tanah air sehingga terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertarikh 5 Ogos 1957 dan Perjanjian Malaysia bertarikh 9 Julai 1963 serta pindaannya pada 28 Ogos 1963 perlu dirakam dengan baik.
“Perjanjian yang berlaku sebelum Hari Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Hari Malaysia 1963 khususnya yang melibatkan pewarisan wilayah perlu dikaji dan dilihat daripada perspektif watan, bukan sekadar menerima bulat-bulat naratif yang dibina oleh orientalis.
“Oleh itu, sebarang tuntutan mana-mana pihak terhadap kedaulatan dan hak Persekutuan mahupun negeri pada masa hadapan tidak boleh dipandang remeh,” katanya. – UTUSAN






