PUTRAJAYA: Peratus kemasukan pelajar bagi mengikuti program Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di institusi seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) direkodkan amat memberangsangkan terutama bagi sesi baharu akademik 2023/2024.
Bercakap kepada Nexbyte, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia merekodkan purata 76 peratus khususnya menerusi 26 program pengajian yang ditawarkan di empat Rangkaian Universiti Teknikal (MTUN) berstatus program TVET.
Menurut beliau, keempat-empat MTUN itu berjaya mencapai peratus yang baik dengan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) merekodkan sebanyak 87.41 peratus dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pula meliputi 88 peratus.
Selain itu adalah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) merekodkan sebanyak 71.82 peratus dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pula berjumlah 73.33 peratus.
“Bagi pelajar Politeknik pula, statistik pendaftaran pelajar pada Sesi I 2023/2024 ini secara purata mencatat pencapaian sebanyak 87 peratus atau seramai 19,967 pelajar di seluruh Politeknik Malaysia.
“Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 17.47 peratus berbanding sesi sama pada 2022/2023 lalu,” katanya di sini semalam.
Mohamed Khaled berkata, bagi Program Asasi TVET di lima buah politeknik, sebanyak 88.2 peratus pengisian dibuat daripada 500 tempat yang disediakan.
Lima politeknik itu ialah Politeknik Ungku Omar (PUO) di Perak, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) di Kuantan, Politeknik Merlimau Melaka (PMM) di Melaka, Politeknik Sultan Syed Sirajuddin (PTSS) di Perlis dan Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN) di Johor.
Baru-baru ini, Nexbyte melaporkan lebih 70 peratus atau 4,630 daripada 6,361 calon yang ditawar kemasukan ke Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) bagi sesi pertama tahun ini menolak melanjutkan pelajaran dalam pendidikan TVET.
Jumlah permohonan untuk melanjutkan pelajaran di institusi itu juga menurun dalam tempoh tiga tahun iaitu tahun 2019 seramai 16,989 memohon, menurun kepada 7,496 pada 202 dan tahun 2021 seramai 9,833.
Dalam hal itu, Mohamed Khaled menyifatkan, ILKBS yang memberi penekanan kepada pengeluaran sijil tidak mencerminkan minat masyarakat terhadap TVET secara menyeluruh.
Jelasnya, KPT sentiasa berusaha memastikan akses yang lebih mudah bagi program TVET di institusi-institusi seliaan KPT dan bagi menarik minat masyarakat mengikuti program TVET. – UTUSAN






