KUALA LUMPUR: Kira-kira RM3.95 billion pelbagai aset seperti akaun bank, kenderaan dan hartanah dipercayai diperoleh hasil aktiviti haram dibekukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2019 sehingga Jun lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.5 billion aset-aset berkenaan dibekukan manakala RM2.44 bilion lagi disita.
Kesemua sitaan dan pembekuan aset-aset berkenaan merupakan 739 kes membabitkan pengubahan wang haram yang disiasat PDRM seperti penipuan, jenayah, termasuk kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam tempoh sama juga, sebanyak 70 individu terdiri 50 lelaki dan 20 wanita telah ditahan dan diambil tindakan di bawah Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dengan 49 kes berjaya dituduh.
Mendedahkan kepada Nexbyte, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sepanjang tempoh sama juga, sebanyak RM318,956,403 nilai saham orang disiasat turut disita dan dibekukan.
Kata beliau, tindakan pembekuan dan penyitaan harta akan dilakukan bahagian AMLA, Bukit Aman apabila siasatan pihak polis terhadap kesalahan jenayah berat mendapati wujudnya elemen pengubahan wang haram dalam kes-kes yang disiasat.
Jelas beliau, kes-kes jenayah yang disenaraikan sebagai kesalahan berat adalah seperti Akta Pertaruhan, Akta Pemerdagangan Orang, Kanun Keseksaan seperti penipuan, pecah amanah jenayah, pemalsuan, culik dan lain-lain disebabkan hasil haram yang diperoleh daripada aktiviti perjudian dan ceti haram.
“Sehingga kini, terdapat sebanyak 424 jenis kesalahan berat disenaraikan daripada 51 akta berkaitan.
“Siasatan AMLA memberi fokus kepada pembuktian kesalahan pengubahan wang haram yang berlaku daripada aktiviti kesalahan jenayah berat dan hasil-hasil yang diperoleh daripada kesalahan yang dilakukan,” katanya ketika ditemui dalam temubual di sini.
Mengulas lebih lanjut, kata beliau, Bahagian AMLA akan mengkaji dan memantau kes yang dilaporkan di seluruh negara tidak kira dibuka di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), JSJK atau jabatan lain setiap hari.
“AMLA hanya wujud di peringkat Bukit Aman sahaja dengan kekuatan yang agak terhad. Walau bagaimanapun, AMLA PDRM sangat serius dalam membanteras aktiviti pengubahan wang haram dengan menyekat perolehan hasil daripada kegiatan jenayah yang dilakukan.
“Jadi, kita akan pastikan kes yang diambil memberi impak kepada penjenayah di mana kekuatan kewangan mereka dapat dilumpuhkan. Melalui AMLA, penjenayah terlibat dapat disekat daripada meneruskan operasi selain akan dikenakan hukuman,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ramli berkata, peruntukan di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 memberi kuasa kepada pegawai penyiasat untuk melaksanakan tindakan pembekuan bagi tempoh 90 hari. – UTUSAN






