KISAH orang tua dan kucing sudah lama diceritakan. Namun mesejnya sangat relevan untuk direnungkan terutama pada musim pilihan raya ini.
Diulang cerita, begini kisahnya… Suatu hari, seorang lelaki tua ke ladang dan meninggalkan cucunya bersama seekor kucing. Apabila pulang, dia melihat kucing itu berlumuran darah dan menyangka haiwan berkenaan mencederakan cucunya. Tanpa berfikir panjang, dia membunuh kucing tersebut. Rupa-rupanya, haiwan itu berlumuran darah kerana membunuh ular berbisa yang hendak mematuk cucunya.
Ramai yang sudah mendengar kisah ini namun tidak pernah mengambil iktibar sehingga memakan diri atau orang sekeliling. Cerita ini adalah kiasan terhadap sikap sesetengah masyarakat yang mudah percaya terhadap maklumat palsu dan berita fitnah.
Apatah lagi pada era mudah mendapat akses kepada penyaluran maklumat. Bahan berita benar dan tidak tepat bercampur-baur serta bertebaran dalam dunia maya.
Walaupun ringkas, cerita ini sarat dengan mesej dan teladan iaitu jangan membuat keputusan membuta-tuli atau percaya kepada sesuatu yang dilihat atau didengar bulat-bulat tanpa menyelidikinya terlebih dahulu.
Ia bertepatan dengan konsep tabayyun (semak asas kebenaran) bagi menggelakkan timbulnya prasangka jika menerima sebarang berita yang belum sahih. Penelitian bagi memastikan ketepatan sesuatu maklumat sangat penting bagi mengelakkan sebarang unsur-unsur negatif, fitnah dan penipuan yang boleh merosakkan diri sendiri, bangsa serta agama.
Tidak semua masyarakat mudah menerima bulat-bulat apa yang bertebaran dalam media sosial, namun perlu diakui ada golongan tidak mahu menyelidik terlebih dahulu berita yang diterima. Hal demikian kerana fitnah lebih menarik, maka orang mempercayainya.
Dalam Majlis ‘Temu Anwar@Kuantan’ Dialog Bersama Anak Muda Bersama Perdana Menteri di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di Pahang kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan perkara ini kerana menyedari kesannya kepada individu, masyarakat dan negara.
Beliau menyifatkannya sebagai satu cabaran kepada anak muda supaya tidak terpukau dan tertipu dengan propaganda disebarkan menerusi medium media sosial.
Dalam tempoh panas kempen pilihan raya enam negeri ketika ini, semua pihak tanpa mengira pegangan atau ideologi politik perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dengan tindakan manipulasi atau fitnah yang disebarkan.
Semak ketulenan fakta, buat penilaian dengan maklumat tepat. Jangan kerana tindakan melulu, kucing yang berjasa pun dibunuh. – UTUSAN






