GEORGE TOWN: Pengundi Pulau Pinang diminta tidak terpengaruh dengan dakwaan kononnya Chow Kon Yeow tidak akan dilantik semula sebagai Ketua Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Sambil menyifatkan dakwaan itu tidak berasas, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, dakwaan tersebut juga dicetuskan oleh pihak-pihak yang kecewa kerana tidak dapat menjadi calon pada PRN kali ini.
”Siapa punya dakwaan itu? Saya sudah beri kenyataan secara terbuka bahawa pilihan kita sebagai Ketua Menteri adalah Chow Kon Yeow apabila kita dapat membentuk kerajaan negeri.
”Jadi, kita akan pastikan sokongan kepada beliau (Kon Yeow) memimpin kerajaan negeri penggal depan. Itu adalah komitmen dan pendirian DAP, jangan dengar dakwaan itu, tak sahih.
”Dakwaan ini adalah daripada mereka yang kecewa sebab mereka tidak dapat jadi calon, mereka kecewa mereka akan buat macam-macam dakwaan,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, DAP bersetuju untuk menamakan Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung bulan depan.
Keputusan menamakan Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua dibuat Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP.
Bagaimanapun, timbul desas-desus kononnya Kon Yeow akan disingkirkan daripada jawatan berkenaan selepas kerajaan negeri dibentuk nanti.
Menurut Anthony, suara-suara pihak lain sebenarnya tidak mewakili pendirian serta pandangan DAP, malah dakwaan yang dilemparkan mengenai status Kon Yeow itu dibuat hanya untuk mengeruhkan keadaan.
”Mereka mengambil kesempatan untuk timbulkan satu keadaan yang tidak menentu kepada orang ramai.
”Jadi saya harap orang ramai dan rakyat negeri ini tidak terpengaruh dengan dakwaan yang tidak berasas ini,” katanya.
Tambahnya, beliau sebagai Setiausaha Agung DAP menyatakan dengan tegas dan secara terbuka bahawa Kon Yeow akan menjadi Ketua Menteri sepanjang penggal depan apabila gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi semula mandat dari pengundi Pulau Pinang.
”Tidak ada sebarang keresahan yang perlu ditimbulkan oleh mana-mana pihak. Kedudukan Kon Yeow adalah jelas dan pendirian kita juga tidak berubah,” katanya. – UTUSAN






