GEORGE TOWN: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan keperluan untuk menangguh atau menghentikan aktiviti-aktiviti tertentu terutamanya aktiviti di luar sekolah sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri itu mencapai tahap lebih buruk.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, buat masa ini, bacaan IPU di Pulau Pinang masih berada pada tahap sederhana, namun, pemantauan lanjut akan diteruskan bagi melihat perkembangan semasa.
Pada masa yang sama, katanya, kerajaan negeri juga berusaha mendapatkan maklumat terkini daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung keadaan kualiti udara di negeri ini.
“Sebarang tindakan lanjut akan bergantung kepada tahap bacaan IPU serta perkembangan keadaan semasa. Sekiranya mencapai tahap yang lebih kritikal nanti, saya fikir, nasihat perlu dikeluarkan untuk menangguh atau menghentikan aktiviti tertentu,” katanya selepas merasmikan program R.A.C.E to Zero Regional Series 2026 di sini, hari ini.
Fenomena jerebu yang pernah melanda negara kembali memburuk apabila 12 kawasan merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) susulan fenomena Super El-Nino serta kebakaran hutan di Indonesia dan pagi ini, bacaan IPU di Pulau Pinang juga dikatakan hampir mencecah paras 100.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan terus mengambil kira laporan dan nasihat daripada JAS sebelum sebarang keputusan berkaitan tindakan kawalan dibuat.
“Saya akan keluarkan kenyataan kemudian. Ia terlalu kompleks untuk saya jelaskan sekarang. Saya baru sahaja berkomunikasi dengan Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai laporan JAS dan perkara berkaitan. Jadi, kita minta pejabat kita mengeluarkan kenyataan berhubung bacaan IPU di Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN





