PETALING JAYA: Ada penduduk Gaza yang kini terpaksa tidur secara terbuka dan tanpa tempat berlindung selepas kediaman mereka musnah dibom tentera Israel dan tiada lagi tempat untuk mereka tuju.
Rakyat Malaysia yang kini terkandas di Palestin, Nurul Ain Haron, 37, berkata, suasana kehidupan rakyat di Gaza berubah 360 darjah selepas 23 hari serangan rejim Zionis.
Berkongsi kedaifan penduduk di Gaza kepada Nexbyte, Nurul Ain berkata, sejak tiba di semenanjung berkenaan pada 1 Oktober lalu, Gaza yang dilihatnya ketinggalan dari pelbagai sudut pembangunan tetapi 2.2 juta penduduknya menjalani kehidupan secara normal hasil daripada bantuan masyarakat antarabangsa.
Walaupun terkenal dengan jolokan ‘penjara terbuka terbesar dunia’, katanya, Gaza masih memiliki fasiliti yang mencukupi sekali pun serba kekurangan seperti kompleks beli belah, hospital, rumah ibadah, pejabat, sekolah, universiti dan banyak lagi.
“Semua itu dapat saya lihat untuk tujuh hari pertama ketika mula menjejakkan kaki ke bumi Gaza, namun semuanya berubah sekelip mata umpama ‘padang jarak padang tekukur’ apabila Israel melancarkan serangan roket dan udara pada 7 Oktober lalu.
“Tiada lagi aktiviti seperti orang normal, semuanya kucar-kacir. Orang berebut-rebut di kedai-kedai, bangunan menyembah bumi, jeritan, tangisan, dentuman bom tidak kira masa, budak berusia empat, lima tahun menjadi peminta sedekah, gelandangan di mana-mana.
“Orang ramai sudah mula ‘stress’ kerana semuanya serba tidak mencukupi. Itulah kehidupan Gaza ketika ini,” katanya sambil kedengaran suara tegang melatari perbualan telefon di rumah mentuanya.
Kelmarin, Israel membenarkan pintu sempadan Rafah dibuka untuk kemasukan 20 trak bantuan kemanusiaan daripada masyarakat antarbangsa dihantar ke Gaza, namun, ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan 2.2 juta rakyat yang kini menderita akibat ketiadaan bekalan makanan, air bersih, ubat-ubatan, elektrik, bahan api dan banyak lagi keperluan asas lain.
Difahamkan, Israel juga tidak membenarkan bantuan seperti bahan api dihantar ke Gaza walaupun ia sangat diperlukan untuk menghidupkan jana kuasa elektrik sekali gus membolehkan hospital-hospital terus beroperasi dan sebagainya.
Nurul Ain berkata, video memaparkan kanak-kanak di Gaza menulis nama di tangan masing-masing adalah realiti masa kini kerana sebagai persediaan supaya mudah untuk dikenal pasti ahli keluarga sekiranya tertimbus di bawah runtuhan jika dibom musuh.
Walaupun ditimpa musibah tanpa penghujung, menurut Nurul Ain, penduduk Gaza masih tidak lokek mengukir senyuman, memberikan salam dan bertanya khabar jika berselisih di jalanan.
“Ia menggambarkan mereka masih mengambil berat antara satu dengan lain walaupun pada masa sama kehidupan masing-masing sebenarnya serba daif,” katanya.
Menurutnya lagi, udara yang dihirupnya pada minggu pertama berada di Gaza juga amatlah berbeza kerana kini bau bahan kimia dihasilkan oleh bom-bom yang dibedil rejim Zionis melatari kawasan bergolak itu.
“Apabila berjalan di kawasan rumah-rumah yang dibedil pula, ada bau seperti bau mayat. Macam tadi saya dan suami lalu di satu flat yang dibedil, suami kata macam dapat agak ada lagi ‘orang’ di bawah runtuhan kerana ada bau mayat,” katanya. – UTUSAN






