PETALING JAYA : “Saya amat merindui dan mengharapkan anak saya dapat keluar dari kawasan konflik di Gaza dengan selamat.”
Demikian luahan rasa rindu Haron Hamim, 65, terhadap anaknya Nurul Ain, 37, yang terkandas hampir tiga minggu di wilayah bergolak itu.
Katanya, dia menghubungi anaknya dua kali sehari iaitu pada selepas maghrib dan waktu malam bagi mengetahui keadaan semasa dan kesihatan Nurul Ain.
“Saya baru hubungi Nurul Ain tetapi panggilan tidak dijawab dan saya amat risau apa yang sedang berlaku di sana.
“Saya cuma mendoakan dia dan suaminya selamat dan dapat keluar secepat mungkin,” katanya.
Nurul Ain berada di Gaza sejak 1 Oktober lalu untuk melawat keluarga mentuanya buat kali pertama selepas enam tahun berkahwin dengan jejaka Palestin, Mohamed Adnan Shaat, 33,
Nurul Ain dan suaminya tinggal di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan sepatutnya pulang ke negara itu Khamis ini.
Dalam pada itu, Haron berkata, dia menasihati anaknya untuk meuar-uarkan barang yang dibeli untuk rakyat Palestin hasil daripada sumbangan wang rakyat Malaysia bagi mengelak sebarang salah faham.
“Nurul Ain menerima sumbangan wang menerusi akaun peribadinya untuk disalurkan kepada mereka yang terkesan akibat peperangan ini. Jadi, saya minta dia meuar-uarkannya melalui video untuk mengelakkan dari difitnah kerana sebelum ini nama besar atau aktivis popular juga pernah dikecam dan difitnah,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Haron meminta media tidak keliru dengan keberadaan individu lain yang memiliki nama sama dengan anaknya.
“Saya ingin menjelaskan anak saya tiada gelaran Dr. sebaliknya individu lain iaitu Dr. Nurul Ain Latif juga berada di Palestin.
“Jadi, jangan keliru dengan kerana ia boleh memberi maklumat yang bercanggah dan mengundang kekeliruan,” jelasnya. – UTUSAN






