PETALING JAYA: “Situasi di Gaza kini sangat genting. Bukan saja tak ada bekalan elektrik, air dan internet, malah satu ruangan kecil di rumah-rumah yang masih belum menjadi sasaran bedilan roket Israel, dikongsi sehingga 30 orang untuk berlindung”.
Demikian kata Nurul Ain Haron, rakyat Malaysia yang terkandas di Khan Younis, Semenanjung Gaza.
Bercakap kepada Nexbyte, Nurul Ain, 37, berkata, ia gambaran sebenar kesempitan dihadapi rakyat Palestin yang kebanyakannya sudah hilang tempat berlindung apabila kediaman mereka ranap dibedil roket-roket tentera zionis sejak minggu lalu.
Wanita yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur itu berkata, selain daripada tempat berlindung, penduduk Gaza kini sudah kehabisan air bersih untuk digunakan bagi meneruskan kehidupan selepas Israel bertindak memutuskan bekalannya sejak tiga hari lalu.
“Keperluan asas yang amat diperlukan adalah air, tETapi setakat ini alhamdulillah ada orang menghantar air namun harus dibeli dengan harga yang agak mahal dan terhad, untuk kami masih okay, tetapi untuk orang lain saya tak tahu nak cakap macam mana.
“Air yang kami dapat pun bukanlah air bersih sebaliknya air masin tapi terpaksa gunakan untuk teruskan kehidupan sementara waktu ini.
“Bekalan makanan juga terhad sehinggakan kami sekarang sudah mula mencatu makanan kerana bekalan daripada Mesir tak dapat disalurkan kerana Israel mengebom sempadan Rafah sejak mula peperangan berlangsung,” katanya.
Nurul Ain berkata, dalam serangan roket terhadap kediaman penduduk Gaza pada Isnin lalu, 14 anggota keluarga abang ipar kepada suaminya terkorban manakala empat lagi masih dirawat di hospital.
Nurul Ain yang berkahwin dengan rakyat Palestin iaitu Mohamed Adan Shaat, 33, pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Gaza pada 1 Oktober lalu bersama suaminya yang sudah sembilan tahun tidak pulang bertemu keluarga.
Kedua-dua pasangan yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu dijadualkan meninggalkan Gaza pada 25 Oktober melalui sempadah Rafah menuju ke Mesir sebelum menaiki penerbangan ke UAE hari berikutnya, namun mereka kini terkandas di Khan Younis susulan peperangan antara pejuang Hamas dengan tentera zionis.
Sementara itu Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) Palestin, Ahmed Abu Ayesh berkata, sebahagian besar penduduk dewasa di Gaza sudah mula berpuasa disebabkan ketiadaan bekalan air dan makanan di kawasan tersebut ketika ini.
Menurutnya, bagi mendapatkan bekalan elektrik, kebanyakan penduduk Gaza kini bergantung kepada bateri kereta yang harganya kini bernilai RM1,800.
“Israel menganggap kami (rakyat Palestin) sebagai binatang dan serangga perosak, kerana itulah mereka tidak peduli siapa pun mereka bunuh di Gaza ini. Itulah kepercayaan mereka.
“Mereka cuba memberi tekanan supaya kami menyerah tapi kami sesekali tidak akan mengibarkan bendera putih. Kami akan terus berjuang mewakili keseluruhan umat Islam sama ada dapat membebaskan Baitulmuqaddis atau terbunuh sebagai syahid,” katanya. – UTUSAN






