PUTRAJAYA: Isu perjawatan doktor kontrak yang masih berlarutan sehingga kini boleh diselesaikan jika kerajaan menawarkan skim perjawatan tetap tanpa pencen dan menggantikan dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Buat masa ini, doktor kontrak di seluruh Malaysia berjumlah 20,300 dengan penambahan lebih daripada 5,000 doktor setiap tahun.
Bagaimanapun, langkah kerajaan untuk menyerap 12,800 doktor kontrak sebagai lantikan tetap dalam tempoh tiga tahun masih belum menjamin masa depan mereka yang dianggarkan akan meningkat kepada 35,300 orang dalam tempoh tiga tahun.
Bercakap kepada Nexbyte, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tawaran lantikan tetap dengan skim KWSP itu sebagai salah satu tindakan penyelesaian bagi menjamin kerjaya petugas perubatan demi menyokong sistem kesihatan negara.
“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) kena adakan jawatan tetap untuk penyelesaian, kumpulan doktor tak minta skim pencen, mereka hanya minta jawatan tetap.
“Salah satu penyelesaian ialah bagi (caruman) KWSP. Kita tawarkan jawatan tetap sehingga pencen tetapi ada caruman KWSP kerana bayaran pencen beri tanggungan lebih kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Noor Hisham yang juga Canselor Universiti Cyberjaya berkata, perkara ini perlu ada kehendak politik (political will) untuk membuat keputusan kerana terlalu banyak cadangan diberikan tetapi tidak dilaksana.
Katanya, jawatan tetap dengan caruman KWSP boleh memberi opsyen kepada para doktor jika mahu menyambung tugas di mana-mana sektor swasta.
“Jadi, isu jawatan tetap boleh diselesaikan dan memberi jaminan kerjaya daripada doktor kontrak yang tidak menentu,’’ katanya.
Sementara itu, Noor Hisham yang berkhidmat sebagai pakar perunding di Institut Endokrin Hospital Putrajaya berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk meningkatkan elaun doktor on call yang hanya dibayar RM9.16 sejam mengikut purata kerja sehari.
Beliau berkata, kos sara hidup semakin meningkat dan bayaran perkhidmatan untuk tugas lebih masa perlu disemak semula bagi memastikan mereka tidak meletak jawatan hanya kerana menerima bayaran tidak setimpal. – UTUSAN





