PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik (Muda) dilihat sukar untuk terus bertahan dan kekal relevan dalam arena politik sekiranya tidak memperkukuhkan kedudukan mereka dengan menjalin kerjasama rapat di bawah blok parti yang lebih kukuh seperti sebelum ini.
Bercakap kepada Nexbyte, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, Muda perlu mencari rakan strategik dengan parti lain seperti Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dan perlu lebih agresif dalam memperjuangkan suara rakyat untuk terus bertahan.
“Saya lihat Muda di bawah pimpinan Syed Saddiq sebagai Presiden pun masih tidak ke mana-mana, jadi, tanpa beliau, Muda juga akan sukar untuk kekal ‘hidup’,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Terdahulu, Nexbyte melaporkan, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertindak mengosongkan jawatannya selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Ahli Parlimen Muar itu dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan RM10 juta denda serta dua kali sebatan.
Syed Saddiq berkata, Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd. Aziz akan memangku jawatan Presiden buat sementara waktu untuk memberi ruang Syed Saddiq membersihkan namanya melalui proses mahkamah.
Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, masa depan Muda sekarang semakin di ambang maut dan mungkin hilang dalam radar politik Malaysia.
“Setakat ini, apa yang saya nampak Muda semakin kurang relevan. Berdasarkan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) pun Muda sudah hilang deposit.
“Pengundi Muda sudah semakin berkurang dan mereka juga dilihat gagal untuk tarik sokongan yang signifikan, bukan sahaja daripada pengundi muda, malah pengundi kelompok lain juga,” katanya.
Beliau berkata, Muda perlu menjalin hubungan bersama parti sedia ada sama ada kembali kepada PH, Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN).
Katanya, ada atau tiada Syed Saddiq sebagai pengemudi Muda, parti itu tetap dilihat sukar untuk meneruskan permainannya dalam dunia politik tanpa ada sokongan kuat parti lain.
Parti berasaskan belia, Muda sebelum ini mengumumkan untuk keluar daripada bangku kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan ini menjadikan Muda sebagai kuasa ketiga pembangkang.
Katanya, tindakan Muda itu sebagai tanda protes terhadap keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan Yayasan Akalbudi. – UTUSAN





