PETALING JAYA: Dakwaan wujudnya ahli-ahli Parlimen pembangkang bertindak menyokong kerajaan kerana sogokan habuan dan jawatan menimbulkan persoalan sama ada mereka benar-benar mahu menyokong kerajaan atau sengaja mahu memburuk-burukkan kerajaan.
Apabila Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid bertindak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakannya yang masih setia kepada parti tidak menunjukkan beliau ikhlas dalam memberikan sokongan tersebut hanya kerana wujudnya Akta Anti Lompat Parti.
Sokongannya disusuli dengan dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa ahli Parlimennya diugut akan dikaitkan dengan kesalahan rasuah jika tidak berbuat demikian.
Anwar meminta PN mengemukakan bukti dakwaan itu, namun tidak pernah berbuat demikian, menunjukkan ia seolah-olah satu alasan menyalahkan pihak kerajaan kerana menggunakan taktik kotor untuk melemahkan pembangkang.
Begitu juga dengan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang menyokong Anwar dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tetapi tidak menyatakan status sokongannya terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tidak bertindak keluar parti.
Sebaliknya, tindakannya itu juga disusuli dengan dakwaan PN bahawa terdapat beberapa lagi ahli Parlimen pembangkang ditawarkan jawatan pengerusi syarikat berkaitan kerajaaan (GLC) dan dijanjikan projek di kawasan masing-masing.
Namun, dakwaan-dakwaan itu tidak pernah disokong dengan sebarang bukti yang kukuh jika ia benar-benar berlaku dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang.
Perdana Menteri sendiri menegaskan beliau tidak pernah berunding dengan kedua-dua ahli Parlimen tersebut untuk mendapatkan sokongan mereka.
Hakikatnya, Anwar tidak perlu cuba mendapatkan mana-mana sokongan ahli Parlimen pembangkang kerana beliau memiliki sokongan majoriti.
Walaupun Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik balik sokongannya dan kini mewakili pembangkang, ia tidak sedikit pun menjejaskan kedudukan Anwar yang masih mempunyai sokongan 147 Ahli Parlimen.
Ini berbeza dengan situasi Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempunyai sebab untuk menarik sokongan daripada ahli Parlimen pembangkang kerana mereka memiliki sokongan majoriti yang tipis.
Sokongan ahli Parlimen daripada pembangkang jelas penting kepada Muhyiddin sehingga Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan terhadap beliau, begitu juga Ismail Sabri yang perlu mewujudkan memorandum persefahaman dengan pihak pembangkang untuk kekal mentadbir negara.
Namun bagi Anwar, tanpa sokongan ahli Parlimen pembangkang sekali pun, beliau masih boleh mentadbir kerajaan dengan sokongan sedia ada.
Jadi, tiada sebab untuk Anwar menarik mana-mana sokongan ahli Parlimen jika beliau mempunyai sokongan majoriti yang kukuh, stabil serta meyakinkan untuk mentadbir negara dalam tempoh lima tahun akan datang. – UTUSAN






