PETALING JAYA: “Saya hidup di Gaza, saya akan mati di Gaza”.
Itu pendirian bapa mentua Nurul Ain Haron, Adnan Mohammed Shaat, 71, ketika ditanya sama ada beliau dan ahli keluarganya yang lain akan menyertai menantunya jika dibenarkan keluar meninggalkan Gaza tidak lama lagi.
Menurut lelaki itu, walaupun kehidupan di Semenanjung Gaza ketika ini amatlah sukar akibat peperangan, tanah tersebut adalah tempat beliau membesar dan membina keluarganya.
“Apa pun yang terjadi saya dan ahli keluarga yang lain tidak akan tinggalkan bumi Gaza ini,” katanya kepada Nexbyte dalam bahasa Arab dengan dibantu oleh anaknya, Mohamed Adan Shaat untuk menterjemahkannya.
Menantunya dan anaknya kini menunggu giliran dipanggil untuk keluar daripada Gaza selepas Israel membenarkan pemegang pasport asing meninggalkan kawasan tersebut secara berperingkat.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu Nurul Ain tidak diketahui selepas gagal dihubungi sejak pagi semalam namun dipercayai disebabkan rangkaian telekomunikasi dari dalam Gaza diputuskan sejak kelmarin.
Nurul Ain yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur, berkahwin dengan rakyat Palestin iaitu Mohamed Adan Shaat, 33, pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Gaza pada 1 Oktober lalu bersama suaminya yang sudah sembilan tahun tidak pulang bertemu keluarga.
Ini juga adalah kali pertama Nurul Ain bersua muka dengan keluarga mentuanya selepas enam tahun melangsungkan perkahwinan memandangkan pergerakan untuk keluar masuk ke Gaza bukanlah suatu yang mudah termasuklah kepada rakyat Palestin sendiri.
Kedua-dua pasangan yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu dijadualkan meninggalkan Gaza pada 25 Oktober melalui sempadah Rafah menuju ke Mesir sebelum menaiki penerbangan ke UAE hari berikutnya, namun mereka kini terkandas di Khan Younis susulan peperangan antara pejuang Hamas dengan tentera zionis.
Suaminya, Mohamed Adan berkhidmat sebagai Pegawai Perlindungan Radiasi (RPO) dan Jururadiograf Kanan di bahagian wanita dan kanak-kanak Hospital Al-Qasimi, Sharjah, UAE. – UTUSAN






