KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad dikatakan belum sedar perkara yang bakal dihadapinya selepas dengan berani mendakwa Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan komunis, Chin Peng.
Guan Eng berkata demikian ketika ditemui Nexbyte di lobi Parlimen hari ini ekoran Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat Pas Pusat itu masih belum membuktikan kedua-dua pemimpin itu mempunyai pertalian keluarga.
Ahli Parlimen Bagan itu menyarankan Siti Mastura bertanya kepada Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, mengenai pengalamannya yang kalah dalam saman fitnah Guan Eng sebelum ini.
Dengan kes duluan itu, Guan Eng memberi gambaran akan memulakan saman fitnah terhadap Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang itu, kerana belum menyahut seruan membuktikan dakwaannya sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, Siti Mastura masih mempunyai masa sehingga esok (Khamis) sebelum menjadi ‘bakal defendan’ seterusnya selepas Razman jika tidak memberi penjelasan.
“Dia belum sedar lagi apa yang dia akan hadapi. Dia mungkin perlu tanya Pesuruhjaya Pas Perak, Razman. Dia kalah saman kan? Jangan buat perangailah. Apa pun, kita tunggu esoklah,” katanya ringkas di sini petang tadi.
Pada 6 September lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Razman membayar ganti rugi RM250,000, kepada Guan Eng berhubung hantaran Facebook yang dianggap memfitnahnya.
Panel tiga hakim terdiri S. Nantha Balan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan Datuk Dr. Choo Kah Sing, menolak rayuan Razman selepas memutuskan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Amarjeet Singh (kini Hakim Mahkamah Tinggi) dibuat dengan betul bahawa penerbitan Facebook itu adalah berunsur fitnah.
Guan Eng menyaman Razman berhubung satu hantaran dalam Facebook (Razman) pada 18 November 2017, yang mendakwa beliau menyokong penuh larangan pengambilan pekerja hotel memakai tudung, dengan ia turut disokong kerajaan Pulau Pinang.
Semalam, Guan Eng memberi masa dua hari untuk Siti Mastura mengemukakan bukti jika benar beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
Beliau sebelum itu menunjukan klip video ucapan yang dimuat naik ke dalam media sosial berkenaan memaparkan Siti Mastura mengaitkan Guan Eng dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng dengan pemimpin DAP lain.
Pemimpin DAP yang disebut itu ialah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim; Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.
Bagaimanapun ketika ditemui pemberita, Siti Mastura dilihat tidak gentar, namun mengelak daripada menjawab pertanyaan pemberita.
Isu dakwaan Siti Mastura kemudian merebak dan panas dalam Dewan Rakyat selepas beberapa ahli parti DAP, menuntut penjelasan semasa beliau membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa, di Dewan Rakyat semalam.
Bagaimanapun Siti Mastura tidak mengendahkan celahan itu dan meneruskan hujahan seperti biasa sehingga Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mematikan pembesar suaranya seketika dan bertanya jika beliau mahu memberi orang lain mencelah. – UTUSAN






