PETALING JAYA: DAP menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan garis masa yang jelas bagi melaksanakan reformasi institusi termasuk pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dan had tempoh jawatan Perdana Menteri.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata, selain itu, pihaknya juga mahu Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA dan Akta Perhimpunan Aman (APA) dipinda segera kerana ia sudah lama tertangguh.
Beliau berkata, keputusan perwakilan dalam Kongres Kebangsaan DAP telah memberikan mesej jelas bahawa langkah segera dan konkrit peril dilaksanakan khususnya reformasi institusi dan ekonomi.
“Asas bagi perubahan ini telah pun tersedia. Rang Undang-Undang pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta had dua penggal Perdana Menteri telah disediakan, manakala kenyataan Menteri mengenai pindaan SOSMA telah dibentangkan di Parlimen seawal Februari tahun lalu.
“Pindaan terhadap Akta Perhimpunan Aman juga telah dibincangkan selama berbulan-bulan. Kita mesti memuktamadkan dan membentangkannya tanpa sebarang kelewatan lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Menteri Digital berkata, kerajaan sebelum ini bertindak pantas dengan mengadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji baru-baru ini.
“Pendekatan sama wajar dilakukan bagi rang undang-undang reformasi penting ini, atau hari persidangan tambahan perlu dijalankan dalam sidang Dewan Rakyat yang akan datang, khusus untuk membahaskan rang undang-undang tersebut.
“DAP kekal komited sepenuhnya untuk memastikan reformasi ini dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan lagi. Kita harus berusaha untuk memastikan rang undang-undang ini diluluskan sebelum penghujung tahun ini. – UTUSAN






