SHAH ALAM: Anggota Batalion Malaysia (Malbatt) yang akan bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon (UNIFIL) akan kekal bersikap berkecuali ketika menjalankan tugas di rantau bergolak itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan sehubungan itu meminta anggota pasukan tersebut mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh UNIFIL.
“Saya khuatir sekiranya konflik itu merebak sehingga melibatkan pelbagai negara di rantau tersebut, keadaan keselamatan di Lebanon juga akan terkesan.
“Ini akan menyukarkan pihak UNIFIL dan Malbatt menjalankan tugas,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-11, semalam.
Beliau berharap anggota Malbatt 850-11 sentiasa berwaspada dan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan apabila menggantikan Malbatt 850-10.
Dalam pada itu, Malbatt 850-11 akan melaksanakan misi di Lebanon selama 12 bulan bermula semalam melibat seramai 854 anggota iaitu 82 pegawai dan 772 anggota lain-lain pangkat dari negara ini serta tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) selain seorang Pegawai Awam Kewangan Kementerian Pertahanan.
Mohamad berkata, pasukan itu diaturgerakkan ke Lebanon secara berperingkat menggantikan Malbatt 850-10 yang akan menamatkan operasinya setelah 12 bulan berada di negara itu.
“Saya amat yakin persediaan yang dilaksanakan menerusi latihan integrasi tiga perkhidmatan selama dua bulan di bawah seliaan Markas Angkatan Bersama di Malbatt Village, Port Dickson pada Jun dan Julai lalu, meningkatkan tahap fizikal dan mental menjadi anggota infantri kompeten untuk melaksanakan misi pengaman.
“Latihan integrasi itu penting memandangkan operasi pengaman UNIFIL dilaksanakan di Lebanon yang mempunyai perbezaan politik, ekonomi, ancaman keselamatan, bentuk muka bumi, iklim dan juga budaya,” katanya.
Jelasnya, penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di peringkat antarabangsa membuktikan Malaysia komited dalam melaksanakan tanggungjawab tugas pengaman dan memberi bantuan kemanusiaan demi memastikan aspirasi keamanan sejagat dapat direalisasikan. – UTUSAN





