KUALA LUMPUR: Malaysia perlu diselamatkan daripada isu berkaitan penyelewengan, rasuah, gila kaum dan menghasut orang membenci pihak tertentu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau agak resah melihat permainan sentimen kaum, agama dan pergaduhan perkara-perkara yang tidak menguntungkan seperti soal anti-Melayu atau anti-Islam.
Sedangkan, kata beliau, tumpuan sepatutnya diberikan untuk membaiki akhlak, mengukuhkan amalan dan kedudukan hala tuju negara.
“Fikir ke mana hala tuju negara ini. Ekonominya, kecerdasan buatan (AI), pelaburan ratusan bilion ringgit, sektor automotif yang perlukan kejuruteraan AI tahap tinggi, ini yang patut kita tumpu perhatian sekarang.
“Selain itu, dalam soal transisi tenaga, orang sudah beralih kepada sumber fosil yang asal, jadi kita kena persiap anak-anak muda dalam bidang ini,” katanya dalam sesi dialog Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, semalam.
Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, jangan diheret rakyat negara ini untuk membincangkan perkara yang lapuk, jumud, merosakkan (atau) timbul kebencian antara satu sama lain.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sekiranya masyarakat mahu martabat negara dapat diangkat, maka jangan dibenarkan penghasut mendapat tempat.
“Sebab itu katakan bahas soal bahasa, bahasa kebangsaan mesti dikuasai semua, tetapi kita mahu maju dan anak muda diterima dalam syarikat antarabangsa terkenal, maka biar mutu penguasaan bahasa Inggeris ditingkatkan.
“Oleh itu anak muda perlu meningkatkan taraf hidup, bersaing di peringkat antarabangsa dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat, ekonomi yang berjaya dan ini memerlukan sikap, dasar dan nilai baharu dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu Perdana Menteri berkata, prestasi Kerajaan Perpaduan dalam tempoh setahun akan diperluaskan untuk dinilai di seluruh negeri bagi membolehkan masyarakat memahami pelaksanaan dasar serta inisiatif yang dilaksanakan.
Beliau berkata, ini kerana apa yang dilakukan kerajaan bukan hanya paparan di atas kertas dan rakyat boleh melihat sendiri apakah pelaksanaan pencapaian.
“Kita akan turunkan dengan kemudahan disiapkan bermula Januari, Menteri Besar Selangor telah setuju untuk mulakan laporan ini di Selangor,” katanya. – UTUSAN





