KANGAR: Sewa tertunggak membabitkan penyewa di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Sena di sini mencecah sehingga RM1,907,671 meskipun kadar sewa bulanan di kediaman itu hanya RM124.
Kadar sewa tertunggak tersebut direkodkan sehingga Oktober lalu dengan majoriti penyewa yang gagal membayar sewa dalam kalangan rentan B40 yang telah berdaftar dengan e-Kasih dan merupakan penerima bantuan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, perkara ini menjadi cabaran utama dalam mendepani isu berkenaan yang melibatkan aspek sosial dan kebajikan rakyat.
Menurut beliau, sekiranya mereka ini ditamatkan sewaan dan diusir keluar, ia tidak akan menyelesaikan masalah pokok kebajikan dan kesejahteraan golongan rentan terbabit.
“Justeru, ia perlu dilaksanakan secara berhemah dan memerlukan tempoh masa panjang dalam memberi kesedaran dan advokasi tentang tanggungjawab dan amanah dalam melangsaikan hutang.
“Jadi, dalam masa terdekat ini pemutihan data penghuni akan kita buat untuk kita pastikan yang mana betul-betul layak sahaja yang kita akan diberikan penempatan memandangkan ramai lagi yang diluar sana yang memerlukan penempatan seumpama itu,” katanya.
Program PPR Seri Sena di sini siap dibina pada tahun 2008 yang merangkumi 480 unit rumah pangsa 13 tingkat dua blok.
Unit-unit tersebut ditawarkan secara sewaan dengan kadar RM124 sebulan dan tiada caj pengurusan (maintainence fee) dikenakan.
Sementara itu, Asrul Aimran berkata, kerajaan negeri melalui Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Hartanah (BPPH) telah melaksanakan tindakan Ops Sedar merangkumi notis peringatan tunggakan sewaan secara konsisten dan mengedarkan notis maklumat kesedaran kepada penghuni PPR berkenaan mengenai tanggungjawab dan kesan tunggakan termasuklah melalui media sosial.
“Selain itu, kita juga mengadakan sesi libat urus bersama penghuni, wakil komuniti termasuklah pejabat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan PPR itu bagi tujuan memberi penerangan dan advokasi.
“Kita juga mempamerkan senarai top 40 penyewa yang mempunyai hutang tertinggi pada setiap dwi bulan bagi tujuan kesedaran dan membuat perbincangan khusus dengan penyewa tertunggak bagi tujuan penstrukturan semula bayaran tunggakan sewaan secara berkala.
“Semakan silang ke atas senarai penyewa yang mempunyai tunggakan tinggi dengan agensi pemberi bantuan mendapati penyewa berkenaan majoriti daripadanya adalah golongan rentan B40 yang telah berdaftar dengan e-Kasih dan merupakan penerima MAIPs dan JKM,” katanya. – UTUSAN





