PETALING JAYA: Pakar Psikologi Kanak-kanak dari SEGI Universiti, Prof. Datin Dr. Mariani Md Nor berkata, pelajar kini dilihat semakin berani membuli kerana ketiadaan ‘elemen’ yang dapat menakutkan mereka, sekali gus menyebabkan golongan itu tidak rasa bersalah melakukan demikian.
Kata beliau, hukuman yang setimpal perlu diwujudkan bagi mengatasi isu buli dalam kalangan pelajar supaya mereka menyedari menjadi pembuli adalah satu perbuatan yang salah dan mendatangkan kesan tidak baik kepada mangsa.
“Kita perlu cari hukuman yang boleh menakutkan golongan pembuli supaya mereka ingat tentang akibatnya dan tidak lagi berani mengulangi kesalahan serupa pada masa akan datang.
“Kesan itu juga perlu memberi impak positif kepada mereka dari segi luaran dan dalaman
“Jika pendekatan itu gagal dilaksanakan, maka kita boleh lihat selepas ini makin banyak kes buli berlaku sama ada dari segi fizikal, emosi, verbal, lisan, siber dan seksual,” katanya ketika dihubungi.
Melalui kajian 10 tahun yang dijalankan menerusi Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NMHS) Kesihatan Mental Remaja (DASS-21) oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikeluarkan pada tahun 2017, 35 peratus pelajar yang dibuli menghadapi masalah depresi, 58.9 peratus (anxiety), 19.1 peratus (tekanan).
Turut senada, Ketua Jabatan Psikologi dan Kaunseling di Universiti Malaya (UM), Dr. Azmawaty Mohamad Nor berkata, pembuli seolah-olah ‘bangga’ apabila membuli pelajar lain sehingga merakam video dan menyebarkannya bagi memalukan mangsa.
“Pembuli merakam video semasa buli mangsa kerana mahu tunjuk mereka berkuasa dan sangat kuat. Namun apabila sudah viral, mereka tidak tahu kesannya dan beranggapan tiada apa akan berlaku.
“Berbeza pula dengan mangsa apabila mereka berasa malu, tertekan, rendah diri dan jika mangsa adalah lelaki, mereka beranggapan mereka adalah lemah.
“Keadaan itu secara tidak langsung mencetuskan rasa dendam dan mereka pula menjadi pembuli di kemudian hari,” ujarnya.
Azmawaty berkata, mangsa buli perlu dirawat segera namun perasaan malu dan stigma negatif yang wujud menyebabkan mereka enggan berjumpa dengan guru kaunselor di sekolah dan lebih memilih memendam perasaan. – UTUSAN





