SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) dicadang untuk diletakkan di bawah Majlis Raja-Raya Melayu dan diangkat statusnya sebagai sebuah ‘Universiti Diraja’ bagi melindungi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu.
Cadangan tersebut disuarakan selepas terdapat kritikan-kritikan secara terbuka termasuk dakwaan cubaan mengganggu kedudukan universiti terbesar itu seperti yang ditubuh berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Presiden Persekutuan Alumni UiTM Malaysia, Saiful Azhar Shaharun berkata, pengiktirafan tersebut adalah untuk menjadikan universiti dengan 34 cawangan itu sebagai institusi yang menjamin peluang pendidikan tinggi Melayu dan bumiputera.
“Banyak kritikan terhadap kedudukan UiTM dilontarkan dalam pelbagai platform sosial media secara terbuka oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab termasuk yang mempersoalkan kedudukan UiTM.
“Jadi saya mencadangkan kepada pengurusan UiTM kalau boleh diangkat kepada kerajaan agar universiti itu dijadikan sebagai Universiti Diraja yang dinaungi oleh Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Pertama Persekutuan Alumni UiTM (PAUiTM), hari ini.
Malah, beliau turut mencadangkan agar satu kerusi diperuntukkan kepada alumni UiTM sebagai salah seorang daripada ahli lembaga pengarah universiti (LPU) universiti tersebut.
Sementara itu, Saiful Azhar memaklumkan PAUiTM berhasrat menganjurkan perhimpunan perdana yang menghimpunkan warga UiTM termasuk alumni, kakitangan dan mahasiswanya pada 25 Ogos tahun ini.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan bersetuju untuk menghadiri perhimpunan tersebut yang bakal melibatkan hampir sejuta orang.
“Pada hujung tahun lalu, PAUiTM mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di pejabat beliau dan pada peringkat awal bersetuju dengan penganjuran perhimpunan tersebut pada Ogos nanti.
“Jadi, itu antara inisiatif yang boleh menggerakkan alumni yang kebanyakannya menjadi pemain-pemain penting dalam industri,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas penubuhan PAUiTM sebagai badan yang akan menghimpunkan persatuan-persatuan alumni UiTM termasuk pertubuhan di peringkat cawangan.
“Penubuhannya signifikan dan ia sudah tercetus kira-kira dua atau tiga tahun lalu selepas meneliti jumlah alumni yang semakin ramai. Pada konvokesyen tahun lalu, lebih sejuta skrol sudah pun dianugerahkan kepada graduan.
“Jadi ada kira-kira 726,000 alumni UiTM, adalah sukar untuk menghimpunkan mereka dalam satu tempat untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat tertentu, oleh demikian kita ambil pendekatan menubuhkan persekutuan yang diwakili oleh perwakilan-perwakilan persatuan alumni,” jelasnya.
Katanya lagi, sehingga kini terdapat 28 persatuan alumni yang berada dalam PAUiTM dan menjangkakan pendaftaran masuk lebih banyak persatuan pada masa akan datang. – UTUSAN






