GERIK: Cubaan seorang lelaki menyeludup 60 liter petrol RON95 ke Thailand gagal apabila dia ditahan sepasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam.
Lelaki berusia 51 tahun itu diberkas ketika pemeriksaan di pos kawalan pintu masuk sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu pada pukul 11.30 pagi.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, lelaki yang memandu kereta jenis Toyota Camry 2.2 bernombor pendaftaran Malaysia itu ditahan ketika melalui pos sekatan jalan raya menuju ke Betong.
Katanya, pemeriksaan lanjut dilakukan anggota penguatkuasa ke atas kereta itu menemukan sebuah tangki tambahan di bahagian belakang kenderaan yang bersambung dengan tangki asal.
“Turut ditemui cecair disyaki minyak petrol di dalam tangki tambahan itu. Kira-kira 60 liter petrol disita bersama kenderaan dengan nilai sitaan berjumlah RM5,123,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan kes dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Dalam pada itu beliau berkata, KPDN Perak kini menempatkan anggota penguatkuasa di pintu masuk sempadan negara dalam usaha mengekang ketirisan dan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.
“KPDN Perak akan terus komited dan konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak sesekali berkompromi terhadap sebarang aktiviti melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi diesel yang merupakan antara kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga.
“Sehubungan itu katanya, orang ramai diminta menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyelewengan,” katanya. – UTUSAN






