SUNGAI GOLOK: Pihak berkuasa Thailand merampas hampir 200 liter petrol dipercayai diseludup dari Malaysia dalam serbuan di beberapa gerai tepi jalan sekitar daerah ini, kelmarin.
Serbuan dijalankan selepas pihak berkuasa menerima aduan penduduk mengenai kenaikan mendadak harga petrol yang dijual secara tidak sah di kawasan berkenaan.
Jurucakap Pejabat Daerah Sungai Golok berkata, operasi berkenaan dilancarkan selepas Pegawai Daerah Sungai Golok, Supiyan Daemohleng menerima aduan daripada penduduk tempatan bahawa beberapa gerai menjual petrol RON95 pada harga lebih tinggi daripada biasa.
“Siasatan awal mendapati petrol dijual sehingga 35 baht (RM4.26) seliter sedangkan harga di stesen minyak sekitar 31.59 baht (RM3.84) seliter Ini jelas satu bentuk eksploitasi terhadap pengguna,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Wilayah Narathiwat, Poolsak Kaewseewhite berkata, pemantauan di tiga pintu masuk sempadan dari Kelantan mendapati bilangan individu yang menyeberang semata-mata untuk mengisi minyak di Malaysia semakin berkurangan.
Katanya, situasi itu berpunca daripada pengukuhan nilai ringgit dan penguatkuasaan ketat oleh pihak berkuasa Malaysia.
“Perbezaan kos kini tidak lagi begitu ketara untuk membeli minyak di Malaysia. Ketika ini kebanyakan orang ramai menyeberang sempadan untuk urusan peribadi atau pelancongan, bukannya semata-mata mengisi minyak,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan itu juga menunjukkan dasar penstrukturan semula harga bahan api di Malaysia dan kawalan lebih ketat terhadap kenderaan berdaftar asing memberi kesan langsung terhadap pergerakan rentas sempadan.
Wilayah Narathiwat mempunyai tiga pintu masuk utama ke Kelantan iaitu di Tak Bai yang menghubungkan ke Pengkalan Kubor, laluan Sungai Golok-Rantau Panjang dan Bukit Ta ke Bukit Bunga. – UTUSAN






