GEORGE TOWN : Kerajaan negeri akan menunggu keputusan daripada pemaju projek pembinaan asrama pekerja asing di Teluk Kumbar sama ada mereka mahu meneruskan projek itu seperti yang dirancang atau memindanya kepada projek yang berskala lebih kecil.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana pemaju projek tersebut ketika ini telah mendengar sendiri bantahan daripada penduduk setempat menerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Teluk Kumbar.
“Masing-masing boleh meneruskan apa yang mereka mahu, kalau mereka (penduduk) mahu terus bantah mereka boleh terus bantah dan bagi pemaju (pula), dia sudah dengar bantahan. Jadi, terpulang kepada pemaju sama ada (mereka) mahu teruskan atau meminda, mengecilkan skala projek atau apa-apa sahaja.
”Kita (kerajaan negeri) menunggu keputusan pemaju. (Dalam hal ini) kita tidak boleh halang sesiapa sahaja untuk mengemukakan permohonan (mendirikan asrama pekerja asing),” katanya selepas merasmikan pembukaan Hotel Marriot Penang, di sini hari ini.
Sebelum ini, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing Teluk Kumbar dan pemaju untuk membincangkan mengenai bantahan projek asrama warga asing di Teluk Kumbar.
Ini kerana, kata Kon Yeow, Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan kelulusan kebenaran merancang yang diberikan oleh MBPP sebelum ini.
Menurut Kon Yeow lagi, pada masa ini, hanya terdapat satu sahaja projek pembinaan asrama pekerja asing di Teluk Kumbar iaitu di kawasan Bandar Baru Perda yang telah mendapat kelulusan merancang.
”Kebenaran merancang adalah satu kebenaran yang mempunyai syarat-syarat untuk dipatuhi oleh pemaju seperti keperluan untuk membaiki jalan, baiki simpang dan sebagainya.
”Jadi, ia terpulang kepada pemohon (pemaju) sama ada mereka mampu atau tidak untuk tunaikan syarat-syarat (dalam kebenaran merancang),” katanya.-UTUSAN






