PETALING JAYA: Seramai 10,000 dijangka membanjiri Majlis Iftar Madani bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bulatan Dataran Putra, Putrajaya bersempena cuti Nuzul Quran, esok.
Program yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama 14 agensi lain serta rakan strategik termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan dan Sekretariat Dakwah Korporat Jakim.
Menurut Jakim, program tersebut dijangka bermula puukul 5.30 petang sehingga 8 malam dengan objektif merapatkan persaudaraan dan kebersamaan masyarakat melalui perkongsian rezeki, pada masa sama berbuka puasa bersama Perdana Menteri.
“Selain itu, ia juga membuka ruang kepada agensi kerajaan bersama Perdana Menteri untuk mendekati, menyantuni serta merasai kondisi pelbagai lapisan rakyat, di samping menyuburkan semangat rahmah dan perpaduan di negara ini.
“Konsep program ini bertepatan dengan gagasan Malaysia Madani oleh Perdana Menteri yang antara lain menekankan nilai hormat, ihsan dan kebersamaan sesama ahli masyarakat,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, seramai 10,000 dijangka akan membanjiri Bulatan Dataran Putra, Putrajaya untuk berbuka puasa beramai-ramai secara santai dan duduk bersila bersama Perdana Menteri dalam program tersebut.
Katanya lagi, sebanyak 10,000 pek juadah berbuka dan bubur lambuk Kampung Baru disediakan kepada tetamu.
“Orang ramai yang akan hadir terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk Jemaah Menteri dan pengurusan tertinggi kerajaan, GLC (syarikat berkaitan kerajaan), belia, orang awam, kanak-kanak dan 180 asnaf di Wilayah Persekutuan.
“Bagi memastikan keselesaan orang awam, perkhidmatan bas disediakan di Hentian Suasana PJH ke Masjid Putra. Kenderaan boleh diletakkan di kawasan parkir di Suasana dan CIMB Presint 2 (Selatan) serta di kawasan parkir berhampiran Kompleks Pejabat Perdana Menteri (B13),” katanya.-UTUSAN





