BAGAN DATUK: Kira-kira 257,000 hektar tanah pekebun kecil getah yang tidak digunakan sepenuhnya, akan dibangunkan dengan program keterjaminan makanan, sebagai usaha menambah hasil makanan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program yang akan dimulakan selepas Aidilfitri ini secara berperingkat, dijangka mampu menambahkan pendapatan pekebun kecil serta menambah hasil pengeluaran makanan negara.
“Program ini dilaksanakan atas nasihat Jawatankuasa Penasihat kepada Perdana Menteri, baru-baru ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Bangunan UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, ketika ini beberapa kawasan tanah tersebut sudah pun digunakan untuk ternakan ayam, lembu, kambing dan itik.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menjelaskan, program itu dilaksanakan kerana banyak tanah pekebun kecil getah tidak diusahakan sepenuhnya kerana beberapa masalah seperti kekurangan pekerja untuk menguruskan pengeluaran getah.
Pada masa sama, maklumnya, ramai pekebun kecil sudah berusia dan tidak mampu lagi bekerja, justeru perlu dicari mekanisme baharu bagi penghasilan getah serta usaha baharu penghasilan tanah.
Beliau turut memberitahu, RISDA juga akan memperkenalkan Model Pengeluaran Getah Negara (PETARA) sebagai usaha meningkatkan pengeluaran getah asli negara melalui pekebun kecil di seluruh negara.
Jelasnya, menerusi model PETARA, agensi itu menyasarkan kira-kira 15,000 hektar kebun getah terbiar dapat mengeluarkan semula hasil dengan penyediaan kemudahan input pertanian dan penyelenggaraan kebun.
Menurut beliau, RISDA memperuntukkan RM57.15 juta bagi menjayakan model pembangunan itu dengan pulangan pelaburan dijangka boleh diperolehi dalam tempoh setahun.
Kata beliau, PETARA dilihat sebagai strategi RISDA dalam menyediakan platform terbaik menyelesaikan isu kebun getah yang tidak diusahakan di seluruh negara.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau memaklumkan antara tanaman yang boleh ditanam dalam program itu termasuk serai yang mana boleh digunakan untuk tujuan perubatan.
Ketika ini, jelasnya, terdapat permintaan tinggi terhadap ekstrak serai dengan 10 kontena bahan itu dieksport ke luar negara setiap bulan. – UTUSAN






