GEORGE TOWN : Isu tular membabitkan seorang mualaf yang mendakwa dia terpaksa berulang-alik sehingga sembilan kali ke Pejabat Agama Daerah Barat Daya di sini bagi mendapatkan sijil perkahwinannya adalah berpunca daripada kegagalan pemuda itu melengkapkan dokumen yang diperlukan.
Jurucakap Pejabat Agama Daerah Barat Daya berkata, pemuda itu sebenarnya telah berkahwin di Indonesia dan isterinya juga adalah warganegara Indonesia.
“Punca kelewatan dia mendapatkan sijil perkahwinan ialah kerana pemuda ini menikah di Indonesia dan ada beberapa dokumen yang diperlukan tidak dilengkapkan.
“Jadi, kakitangan pejabat agama telah meminta agar dia melengkapkan dokumen yang diperlukan mengikut prosedur yang telah ditetapkan sebelum sijil perkahwinannya dapat diluluskan oleh pejabat agama,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan seorang pemuda mualaf yang menyatakan dia terpaksa berulang-alik sebanyak sembilan kali dengan jarak keseluruhan perjalanan sebanyak 700 kilometer bagi mendapatkan sijil perkahwinannya daripada pejabat agama.
Pemuda itu mendakwa pejabat agama seharusnya memudahkan proses untuk pasangan yang baharu berkahwin mendapatkan sijil perkahwinan masing-masing dan bukannya menyusahkan mereka.
Mengulas lanjut, jurucakap pejabat agama itu berkata, pihaknya telah memproses permohonan pemuda tersebut seperti mana prosedur pasangan yang bernikah di luar negara.
“Prosesnya adalah sama dengan pasangan lain yang bernikah di luar negara, ia adalah sama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pejabat agama juga telah mengeluarkan sijil perkahwinan pemuda berkenaan sebaik sahaja dia melengkapkan kesemua dokumen yang diperlukan.
“Isu ini telah selesai dan pihak pejabat agama juga telah menghantar mesej di aplikasi WhatsApp kepada pemuda ini memaklumkan bahawa sijil perkahwinannya telah diluluskan.
“Dia juga boleh mengambil sijil perkahwinan tersebut pada bila-bila masa di pejabat agama,” katanya.-UTUSAN





