GEORGE TOWN : Dua suspek lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai terlibat dengan beberapa kejadian jenayah seperti pecah rumah, samun bersenjata, pencerobohan serta kecurian bersiri di sekitar Tanjung Bungah di sini antara tempoh 28 Julai hingga 2 Ogos lalu berjaya diberkas, pagi tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, kedua-dua suspek masing-masing ditahan di lokasi berasingan iaitu di Machang Bubok dan Jalan Perda Timur, Bukit Mertajam antara pukul 8.45 hingga 10.05 pagi.
Katanya, susulan penahanan itu, polis turut merampas beberapa barangan kes yang dipercayai milik mangsa daripada kedua-dua suspek semasa tangkapan dilakukan.
“Ketika ini, empat kertas siasatan dibuka membabitkan satu kes pecah rumah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, kes samun bersenjata (Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan), kes pencerobohan (Seksyen 448 Kanun Keseksaan) serta kes kecurian alat kawalan jauh pintu pagar automatik mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Dua daripada kes ini melibatkan kerugian sehingga mencecah RM17,000, manakala dua lagi kes tidak melibatkan sebarang kerugian,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, kedua-dua suspek juga akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan termasuk bagi mengenal pasti sejauh mana penglibatan mereka dalam kes-kes berkenaan.-UTUSAN





