TAPAH: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menubuhkan jawatankuasa dalaman bagi menyiasat penularan surat layang berhubung gangguan seksual di hospital awam baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, penubuhan jawatankuasa itu bersifat kritikal bagi menyiasat sama ada surat layang itu mempunyai unsur tohmahan atau fitnah.
Katanya, penubuhan jawatankuasa itu bersifat kritikal bagi menyiasat sama ada surat layang itu mempunyai unsur tohmahan atau fitnah.
“Sehingga sekarang kita tidak tahu siapa pengadu dan yang menjadi mangsa sekarang ialah seorang pegawai perubatan.
“Majikan (Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB, Ipoh) boleh buat siasatan dalaman dan perlu ada aduan daripada pengadu tetapi setakat ini perkara itu tidak berlaku,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus Pemerkasaan Orang Asli di Dewan Serbaguna, Kg Batu 10, Jalan Pahang di sini, hari ini.
Beliau mengulas tular surat layang yang mendakwa seorang doktor sering melakukan gangguan seksual terhadap doktor pelatih wanita di HRPB Ipoh.
Sivanesan berharap rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di HRPB dapat diteliti dengan sebaiknya oleh pihak berkuasa untuk mengesan penyebar surat layang itu.
Sebelum ini, media melaporkan, tular di laman media sosial mengenai surat mengandungi dakwaan beberapa doktor pelatih wanita di Jabatan Ortopedik HRPB dikatakan sering diganggu secara seksual oleh seorang doktor lelaki. – UTUSAN





