PUTRAJAYA: Dakwaan penyebaran surat layang menyeru pengundi Cina untuk tidak mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Sabtu ini diyakini tidak mempengaruhi pengundi kaum itu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana terdapat pengundi berketurunan Cina yang tinggal di luar DUN Mahkota, selain di luar daerah Kluang serta ramai bekerja di Johor Bahru termasuk Singapura.
“Semalam perkara itu dibawa oleh Menteri Besar Johor kepada saya sebab semalam satu hari penuh saya berada di DUN Mahkota.
“Didapati ia (surat layang) tidak ada pengaruh dan tidak mempengaruhi pun dalam kalangan pengundi Cina di DUN Mahkota,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) di sini hari ini.
TAKTIK KOTOR
DAP sebelum ini mendakwa pihak lawan politik cuba menggunakan taktik kotor secara terancang dengan mengedar surat layang menyeru pengundi Cina untuk tidak mengundi BN pada PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.
Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi memberitahu, surat layang cetakan komputer dalam bahasa Mandarin diletakkan dalam peti surat di rumah penghuni Cina di Taman Sri Kluang, dan Taman Suria termasuk Taman Lian Seng dan Taman Pelangi.
Menurut Ahmad Zahid, pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi mengambil kira pengalaman PRK di DUN Sungai Bakap yang menunjukkan peratusan kecil keluar mengundi.
Katanya, usaha itu bukan dibuat atas sebab penyebaran surat layang tersebut semata-mata.
“Maka di DUN Mahkota kita usahakan bersama dengan semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan ini untuk mengusahakan mereka kembali mengundi 28 September ini,” katanya.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon BN dan Perikatan Nasional (PN) dengan mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.
Manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.
Daripada 66,318 pengundi DUN Mahkota, 37,413 adalah pengundi Melayu, Cina (22,460), manakala India (5,142) dan Lain-Lain (1,303). – UTUSAN






