KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk membuat semakan semula terhadap penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memastikan tidak ada daripada mereka yang mengambil kesempatan walaupun sudah berjaya menaik taraf hidup mereka.
Ahli Dewan Negara, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih mengalami masalah tertunggak dalam isu menyelesaikan masalah permohonan kemasukan ke rumah PPR.
Menurut beliau, sehingga kini terdapat kira-kira 60,000 permohonan masih lagi dalam proses dan disyaki terdapat penghuni yang melanggar syarat ditetapkan.
“Bilakah kali terakhir semakan semula berhubung tahap kelayakan penghuni yang tinggal di PPR? Ini kerana, DBKL mendapati sebahagian penghuni telah menyewa unit PPR mereka kepada orang lain dan ada juga mereka yang telah meningkat taraf hidup, namun masih tinggal di PPR.
“Sepatutnya mereka yang sudah berpendapatan tinggi harus keluar daripada PPR untuk memberi ruang kepada mereka yang memohon,” katanya semasa sesi perbahasan di Dewan Negara, hari ini.
Mohd Hisamudin turut mempersoal sama ada penghuni PPR boleh mewarisikan unit mereka kepada anak-anaknya.
“Saya ingin bertanya, berapa lamakah tempoh penempatan setiap penghuni PPR yang boleh diduduki? Bolehkan ia diwarisi kepada anak-anak mereka?,” soalnya.
Pada masa sama, beliau berkata, sebanyak 35 peratus rakyat Kuala Lumpur yang tinggal di PPR dan Perumahan Awam (PA) merupakan golongan miskin bandar.
Sehubungan itu, beliau beliau membangkitkan soalan bantuan jangka panjang dirancang oleh kerajaan untuk membantu golongan tersebut supaya dapat mencapai kemiskinan sifar bandar.
“Program-program jangka pendek Kerajaan yang berbentuk pemberian tunai dan bantuan ‘one-off’ kepada ketua isi rumah tidak menyelesaikan masalah kemiskinan di bandar. Sedangkan kursus dan latihan kemahiran yang ditawarkan juga kurang menarik minat golongan asnaf.
“Bagaimana pula dengan asnaf yang tidak produktif dan apakah kaedah yang sesuai untuk mereka yang kebanyakannya dalam kategori warga emas?” katanya. – UTUSAN





