PETALING JAYA: Pembangkang menganggap keputusan kerajaan menangguhkan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) (Pindaan) Perlembagaan Persekutuan 2024 berhubung kewarganegaraan kerana tidak yakin boleh mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu membuktikan bahawa kerajaan bersikap tidak jujur, lemah dan bermuslihat bagi menutup masalah lebih besar yang dihadapi.
Hal itu walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution beralasan yang penangguhan tersebut bagi memberi ruang lebih luas kepada ahli Parlimen untuk membahaskannya pada masa akan datang.
Katanya, pemeriksaan senarai kehadiran dalam mesyuarat Parlimen pada 27 Mac lalu mendapati seramai 211 ahli Parlimen berdaftar hadir, manakala 11 ahli Parlimen tidak hadir menyaksikan sembilan wakil rakyat daripada blok kerajaan.
“Ini menjadikan jumlah ahli Parlimen kerajaan yang hadir seramai 145 orang sahaja (termasuk enam orang yang asalnya dari PN), iaitu kurang tiga orang berbanding sejumlah 148 orang diperlukan bagi meluluskan pindaan Perlembagaan.
“Lebih menonjol apabila hitungan rambang semasa bacaan kali kedua mendapati jumlah ahli blok kerajaan kurang dari 145 orang kerana pada masa itu Timbalan Perdana Menteri I dan beberapa menteri tidak kelihatan dalam Dewan walaupun hadir pada sebelah pagi,” katanya dalam kenyataan semalam.
Selain itu, kata Takiyuddin, akibat ketidakcukupan sokongan dua pertiga ahli Parlimen, ia dianggap sebagai undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh kerajaan.
Katanya, menjadi amalan di luar negara jika kerajaan gagal mendapat sokongan mencukupi dalam usulnya, maka kerajaan dianggap hilang kepercayaan ahli Dewan Rakyat yang menuntut Perdana Menteri meletak jawatan, membubar Parlimen atau kerajaan memasukkan usul khas undi percaya.
“Kerajaan perlu lebih bermaruah dan jujur dan menteri perlu meletak jawatan dengan segera. Kerajaan perlu membentang semula RUU ini setelah terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja,” katanya.
Pada Rabu lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan dibentang untuk bacaan kali kedua tanpa dibahas sebelum mesyuarat Dewan Rakyat ditangguhkan. Bacaan kali pertama dibentang Isnin lalu.
Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 berakhir pada hari tersebut selepas 19 hari bersidang. Sesi persidangan akan datang dijadualkan selama 15 hari bermula 24 Jun hingga 18 Julai depan.
Bagaimanapun, kata Saifuddin, kerajaan komited supaya isu kewarganegaraan ditangani dengan cermat.
“Kita harus selesaikan dengan berani dan bertanggungjawab. Saya harap ahli Yang Berhormat boleh beri pertimbangan terhadap perkara ini, keseimbangan yang kerajaan mahu cari, antara persoalan keselamatan, kedaulatan undang-undang dan sikap perikemanusiaan yang patut kita berikan, khususnya kepada anak-anak yang sudah menunggu lama,” katanya di Dewan Rakyat. – UTUSAN






