Perkembangan terbaru dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuka satu persoalan yang lebih besar daripada sekadar kedudukan seorang Timbalan Presiden, iaitu siapa sebenarnya yang bakal memimpin parti itu selepas era Nurul Izzah Anwar?
Soalan ini menjadi semakin relevan selepas Nurul Izzah memohon untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR. Bagaimanapun, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) tidak menerima peletakan jawatan itu, sebaliknya memberikan beliau cuti sementara selepas Kongres Nasional PKR 2026.
Dalam tempoh tersebut, tugas Timbalan Presiden akan dilaksanakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Perkembangan ini bukan sekadar soal hierarki dalam organisasi. Ia menyentuh persoalan lebih besar mengenai masa depan PKR, kesinambungan kepimpinan parti dan siapa yang akan menjadi wajah utama dalam meneruskan legasi reformasi selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Nurul Izzah bukan tokoh biasa dalam PKR. Beliau mempunyai sejarah politik yang sama panjang dengan parti itu. Nurul Izzah antara wajah-wajah yang menjadi simbol perjuangan awal reformasi. Walaupun ramai musuh politik hanya mahu mengaitkannya sebagai anak Anwar, tetapi perjuangan Nurul Izzah menghidupkan PKR ketika Anwar menjalani hukuman tidak boleh dipertikai.
Malah pada pemilihan PKR 2025, beliau menewaskan Datuk Seri Rafizi Ramli untuk jawatan Timbalan Presiden dengan memperoleh 9,803 undi adalah atas kepercayaan perwakilan.
Kemenangan itu adalah isyarat bahawa Nurul Izzah mempunyai kedudukan yang kukuh dalam parti. Namun, perkembangan terbaru menunjukkan bahawa kedudukan dalam politik tidak semestinya menjamin laluan yang lurus menuju kepimpinan tertinggi.
Persoalannya sekarang, jika Nurul Izzah memilih untuk berundur secara kekal pada masa hadapan, siapakah calon paling munasabah untuk mengisi ruang tersebut?
Nama pertama yang hampir pasti menjadi perhatian ialah Saifuddin Nasution. Beliau kini menjalankan tugas Timbalan Presiden sepanjang tempoh cuti Nurul Izzah.
Pengalaman beliau dalam PKR juga bukan kecil. Saifuddin mempunyai pengalaman panjang dalam politik, kerajaan dan pentadbiran parti. Beliau juga mempunyai kedudukan penting dalam Pakatan Harapan.
Namun, persoalan yang lebih besar adalah sama ada Saifuddin mahu menjadi sekadar pengurus transisi atau membina dirinya sebagai calon kepimpinan jangka panjang. Liabiliti Saifuddin adalah, dia tewas dalam pemilihan jawatan timbalan sebelum ini dan tewas di Parlimen.
Tetapi realitinya, jika PKR memerlukan seorang pemimpin berpengalaman, stabil dan mempunyai keupayaan mengurus hubungan antara parti dalam kerajaan perpaduan, Saifuddin mempunyai kelebihan. Tetapi PKR juga mempunyai generasi pemimpin lain.
Antaranya ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Amirudin mempunyai satu aset yang sangat penting dalam politik Malaysia – pengalaman mengurus sebuah negeri yang menjadi antara kubu utama PKR.
Beliau juga pernah mengambil alih tugas sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR bersama Saifuddin selepas perubahan struktur dalam parti pada Mei lalu.
Ini bukan perkembangan kecil. Dalam politik moden, kemampuan mengurus jentera pilihan raya merupakan antara ukuran paling penting terhadap potensi seorang pemimpin.
Pemimpin parti bukan sekadar perlu pandai berucap atau mempunyai pengaruh dalam media sosial. Mereka mesti tahu bagaimana menggerakkan organisasi, mempertahankan kawasan, menarik pengundi dan membina pasukan. Amirudin mempunyai pengalaman tersebut.
Bagaimanapun, beliau juga berdepan persoalan sama ada kekuatan politik Selangor boleh diterjemahkan menjadi pengaruh nasional.
Selain Saifuddin dan Amirudin, terdapat barisan pemimpin generasi lebih muda yang mungkin muncul dalam beberapa tahun akan datang. Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, misalnya, merupakan antara wajah yang mempunyai potensi untuk membina pengaruh lebih besar dalam parti.
Namun, PKR perlu berhati-hati. Parti itu tidak boleh mengulangi kesilapan menjadikan persoalan penggantian kepimpinan sebagai pertandingan personaliti semata-mata.
Apa yang berlaku dalam pemilihan 2025 antara Nurul Izzah dan Rafizi sepatutnya menjadi pengajaran.
Pertandingan itu bukan sahaja memperlihatkan pertembungan dua tokoh, malah mendedahkan persoalan mengenai arah masa depan PKR. Selepas itu, Rafizi meninggalkan PKR dan kemudiannya bersama Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan pengunduran daripada kerusi Parlimen serta penyertaan dalam parti baharu.
Perkembangan tersebut mengubah peta dalaman PKR secara ketara.
Maka, jika Nurul Izzah benar-benar meninggalkan kedudukan nombor dua parti, PKR tidak boleh melihatnya sebagai sekadar penggantian seorang individu. Ia adalah ujian terhadap kematangan organisasi.
Lebih penting, PKR perlu menjawab persoalan siapa selepas Anwar. Ini kerana usia dan tempoh kepimpinan Anwar akhirnya akan menjadikan isu penggantian tidak dapat dielakkan. Selagi Anwar menjadi Presiden, tokoh-tokoh lain mungkin terpaksa menunggu.
Tetapi semakin dekat parti kepada fasa peralihan generasi, semakin penting PKR mempunyai pelan penggantian yang jelas.
Parti yang lahir daripada perjuangan reformasi tidak seharusnya bergantung kepada seorang individu. PKR perlu membina sistem yang mampu melahirkan pemimpin, bukan sekadar mencari pengganti apabila berlaku kekosongan.
Jika Nurul Izzah akhirnya tidak kembali kepada jawatan Timbalan Presiden, persaingan baharu mungkin tercetus. Saifuddin mempunyai pengalaman, Amirudin mempunyai rekod pentadbiran dan jentera, manakala generasi baharu mempunyai peluang membawa naratif reformasi ke era yang berbeza.
Tetapi siapa yang paling layak? Jawapannya bukan semata-mata siapa yang paling dekat dengan Anwar, siapa paling popular atau siapa paling banyak jawatan.
Pemimpin selepas Nurul Izzah dan akhirnya selepas Anwar perlu membuktikan tiga perkara: mampu mengurus parti, mampu memenangi pilihan raya dan paling penting, mampu meyakinkan rakyat bahawa PKR masih mempunyai sebab untuk terus wujud sebagai parti reformasi.
PKR kini berada di persimpangan. Sama ada ia terus menjadi parti yang berputar di sekitar tokoh-tokoh tertentu atau berkembang menjadi institusi politik yang mempunyai pelan kepimpinan untuk 10 hingga 20 tahun akan datang.
Jika Nurul Izzah benar-benar memilih untuk berundur, kekosongan yang ditinggalkan bukan sekadar kerusi Timbalan Presiden. Ia adalah ruang untuk PKR menentukan generasi kepemimpinan seterusnya.
Aznan Bakar ialah Pemangku Pengarang Kumpulan Media Mulia






