IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Pengkalan 11, Pusing di sini semalam.
Serbuan melalui Op Tiris 3.0 pada pukul 4 pagi itu dijalankan selepas risikan mendapati terdapat aktiviti pembelian mencurigakan di stesen-stesen minyak di sekitar Batu Gajah.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, hasil risikan selama seminggu ke atas sebuah lori ‘bonded’ telah membawa ke lokasi yang dijadikan sebagai tempat pengumpulan minyak diesel.
Katanya, ketika serbuan dibuat, lori tersebut sedang memindahkan cecair disyaki minyak diesel ke dalam ‘skid tank’.
“Pemeriksaan lanjut ke atas lori bonded itu telah menjumpai empat tangki IBC yang juga disyaki berisi cecair minyak diesel.
“Sebanyak 6,000 liter minyak diesel yang diisi dalam tangki IBC dan skid tank telah disita. Nilai rampasan keseluruhan termasuk lori dan peralatan pam adalah sebanyak RM70,380,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil semakan awal mendapati premis berkenaan hanya mempunyai permit menyimpan barang kawalan diesel sebanyak 2,000 liter.
Katanya, dalam serbuan itu, seorang pemandu lori warga tempatan berusia 45 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
“Dipercayai sindiket ini bergerak aktif sekitar Batu Gajah dan Ipoh. Modus operandi yang dikesan adalah bersubahat dengan pengusaha stesen minyak di mana membenarkan pemandu lori membuat pembelian dengan kuantiti yang banyak.
“Lori-lori bonded ini akan bergerak ke stesen-stesen minyak dan membuat pembelian sebelum mengumpulnya di premis berlesen bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan dijual semula kepada pihak industri bagi meraih keuntungan besar,” katanya.
Tambah beliau, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – UTUSAN




