GEORGE TOWN : Kerja-kerja fizikal melibatkan pembinaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang dijangka bermula September atau Oktober tahun ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerja-kerja tersebut akan dimulakan selepas butiran akhir projek tersebut dibincangkan antara SRS Consortium Sdn. Bhd. dan MRT Corp.
Katanya, walaupun projek itu telah diumum untuk diteruskan oleh Kerajaan Pusat, ia masih akan mengambil masa sebelum kerja fizikal boleh dimulakan.
“Kerja-kerja fizikal dijangka bermula pada September atau Oktober iaitu selepas tempoh enam bulan untuk SRS dan MRT Corp memuktamadkan jajaran laluan, skop kerja dan sebagainya.
“Dalam hal ini, kerajaan negeri mengalu-alukan pengumuman daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan ini adalah permulaan kerana banyak lagi kerja akan dijalankan selepas ini.
“Malah dalam lawatan beliau (Loke) sebelum ini, beliau suarakan hasrat projek LRT ini akan bermula suku ketiga atau keempat tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara syarikat Finhero dan NTT Data Corp of Japan di sini, hari ini.
Terdahulu, Kerajaan Pusat secara rasminya telah mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Jajaran LRT Mutiara yang disasarkan beroperasi pada 2030 itu bermula dari Pulau Silikon hingga ke Komtar, seterusnya menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai.

Jarak jajaran dianggarkan kira-kira 29 kilometer dengan 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran iaitu di Stesen Komtar dan Stesen Penang Sentral. Kemudahan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan tren elektrik (ETS) turut disediakan kepada penumpang.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, pada masa ini, Tapak Pesta di Sungai Nibong telah dikenal pasti sebagai lokasi depoh dan Pulau Pinang mencadangkan agar satu lagi depoh dibina di Pulau Silikon.
“Bagi jajaran Tanjung Bungah ke Komtar, kita berharap ia akan dapat dibina pada fasa berikutnya,” katanya.-UTUSAN






