KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melalui inisiatif strategik kebangsaan Malaysia Digital (MD), menawarkan pelbagai insentif untuk syarikat-syarikat status MD dan Koridor Super Multimedia (MSC) sedia ada.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahadhir Aziz berkata, insentif tersebut termasuk Pengecualian Cukai Bukan PI, Pengecualian Cukai PI dan Pengecualian Cukai Pelaburan.
“Insentif-insentif ini akan diumumkan bersama oleh Kementerian Digital, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Kewangan (MOF),” katanya ketika taklimat kepada media dan majlis iftar di Grand Hyatt Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata syarikat-syarikat yang memegang Status MD tidak hanya berjaya di dalam negara, bahkan telah menarik perhatian global dengan eksport digitalnya mencapai RM3.18 bilion pada tahun lalu dan berharap insentif ini akan meningkatkan momentum mereka.
Pada 2023, MDEC telah mencatatkan pencapaian yang mengagumkan dalam memacu ekonomi digital Malaysia ke hadapan. Pelaburan digital di Malaysia telah meningkat dengan ketara berjumlah RM46.22 bilion, melepasi sasaran sebanyak 154 peratus.
“Pertumbuhan ini didorong oleh kehadiran 256 syarikat termasuk gergasi industri seperti Amazon Web Services (AWS), Siemens Energy dan American Express,” katanya.
Dalam pada itu, Mahadhir juga mengumumkan Inisiatif PemangkinMD e-Invoicing Kebangsaan yang diketuai secara bersama oleh MDEC dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengukuhkan perniagaan dari pelbagai aspek bagi merangkul digitalisasi dan selaraskan proses kewangan.
“Ia selari dengan Pelan Digitalisasi Kebangsaan untuk Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS) yang akan datang, direka untuk mempercepatkan pertumbuhan lestari bagi usahawan PKS,” katanya. – UTUSAN





