Apakah rupa sebenar sebuah negara digital? Adakah ia diukur melalui rangkaian internet berkelajuan tinggi dan platform global, atau melalui kemampuan setiap kafe kecil, perniagaan di rumah, atau koperasi tempatan untuk berkembang dengan yakin dalam dunia digital?
Kajian oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) menunjukkan bahawa ekonomi digital ASEAN berpotensi mencecah hampir AS$1 trilion menjelang tahun 2030.
Di Malaysia, agenda nasional juga semakin berkembang. Kerajaan giat memacu pendigitalan melalui pelan jangka panjang yang bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan aplikasi, tetapi juga kepada infrastruktur digital dan kedaulatan teknologi negara. Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM 2025) pula membayangkan sebuah komuniti digital serantau yang selamat, inklusif dan bertransformasi sepenuhnya.
Inisiatif seperti Rangka Tindakan MyDIGITAL dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) turut memperkukuh usaha ini, dengan menegaskan visi nasional berasaskan keterhubungan, keterangkuman dan peluang digital untuk semua, daripada syarikat besar hinggalah ke perniagaan kecil.
Nadi Ekonomi Malaysia
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kekal menjadi tulang belakang pertumbuhan ekonomi negara, merangkumi 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia. Daripada pembuat kek di rumah dan penjual kraftangan, hinggalah ke pusat tuisyen dan kafe di kawasan perumahan, PKS menjadikan komuniti kita hidup dan ekonomi tempatan terus berdenyut.
Namun bagi banyak pemilik perniagaan ini, aspirasi nasional kadang-kala terasa jauh daripada realiti harian mereka. Cabaran mengurus kos, pelanggan dan masa sering menjadikan transformasi digital kelihatan sukar untuk dicapai.
Cabaran sebenar bukan terletak pada cita-cita, tetapi pada kebolehcapaian. Ramai usahawan sudah biasa mendengar istilah seperti “membawa perniagaan ke dalam talian”, “automasi” atau “pemasaran digital”.
Namun realitinya, banyak alat dan platform digital masih dianggap mahal, rumit, atau tidak sesuai dengan keperluan harian perniagaan kecil. Menurut kaji selidik WEF terhadap pemilik perniagaan kecil di ASEAN, perkara paling penting bagi mereka ialah kesederhanaan, kepantasan, mampu milik dan sokongan praktikal. Ramai pemilik perniagaan tempatan tidak kekurangan semangat atau cita-cita, yang mereka perlukan ialah alat yang betul, proses yang betul dan sokongan yang betul.
Langkah Mudah ke Arah Pertumbuhan Digital
Dalam dunia di mana banyak alat digital dibangunkan untuk syarikat besar, tidak hairanlah jika perniagaan kecil terasa seolah-olah ketinggalan. Pendigitalan tidak semestinya bermula dengan sistem yang mahal atau automasi yang canggih. Bagi kebanyakan usahawan, kemajuan sebenarnya bermula dengan sesuatu yang lebih asas, iaitu komunikasi.
Bagi perniagaan kecil, kos pelesenan, cabaran integrasi, dan peraturan yang rumit sering kali melebihi manfaat yang diperoleh. Keadaan ini mengehadkan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi digital yang inklusif, sebuah ekosistem yang memastikan perusahaan kecil mampu bersaing dengan peluang yang sama rata.
Walaupun perbincangan umum kini banyak tertumpu pada kecerdasan buatan (AI) dan automasi, asas sebenar kepada perdagangan digital masih sama, iaitu infrastruktur komunikasi. Setiap pengesahan pesanan, e-mel pendaftaran pelanggan dan pelaksanaan kempen bergantung pada sistem yang stabil, patuh kepada peraturan, dan mampu berkembang mengikut keperluan. Inilah peranan penting yang dimainkan oleh inovator tempatan di Malaysia.
Daripada membina platform perusahaan yang terlalu kompleks, tumpuan sepatutnya diberikan kepada pembangunan alat yang boleh dipercayai, berpatutan dan direka berdasarkan realiti perniagaan harian.
Kepercayaan Sebagai Asas Pertumbuhan Digital
Hari ini, perbincangan semakin berubah arah. Persoalannya bukan lagi sejauh mana pantasnya kita boleh menerima teknologi, tetapi sejauh mana banyaknya sistem yang benar-benar boleh kita percayai.
Salah satunya ialah platform Enginemailer. Ia dibangunkan berasaskan idea mudah, bahawa setiap perniagaan, tanpa mengira saiz, berhak mempunyai akses kepada alat komunikasi yang profesional dan boleh dipercayai. Melalui platform ini, perniagaan boleh mengurus dan mengembangkan pangkalan data pelanggan, menghantar e-mel, buletin dan kemas kini tanpa memerlukan kemahiran teknikal tinggi atau kos langganan yang besar. Enginemailer memberi ruang kepada perniagaan, daripada pembuat kek kecil sehinggalah ke gim yang dikendalikan anak muda dan koperasi untuk berkembang mengikut kemampuan sendiri.
Ciri keselamatan platform ini juga mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) Malaysia, memastikan setiap mesej dihantar dengan selamat dan memberi keyakinan kepada pemilik perniagaan bahawa hubungan mereka dengan pelanggan dibina atas asas kepercayaan.
E-mel mungkin kelihatan seperti antara alat digital yang paling lama, tetapi hakikatnya ia masih antara yang paling berkesan, terutamanya bagi perniagaan kecil. Atas sebab inilah fleksibiliti dan kebolehcapaian dijadikan asas kepada pembangunan platform ini, menawarkan pilihan langganan berasaskan penggunaan dengan kos berpatutan, malah pelan percuma sepanjang masa bagi membantu perniagaan baharu memulakan langkah tanpa rasa ragu.
Membina Kepercayaan dan Keterangkuman Melalui Infrastruktur Tempatan
Masa depan ekonomi digital Malaysia bergantung pada sejauh mana kita dapat menutup jurang antara cita-cita dan kebolehcapaian. Ini bermakna memperkasa setiap perniagaan, daripada gerai kampung hingga syarikat pemula di bandar, dengan keupayaan untuk melibatkan diri, bersaing dan berkembang secara adil dalam ekosistem digital.
Dalam perjalanan Malaysia menuju pendigitalan yang inklusif, infrastruktur komunikasi memainkan peranan yang cukup strategik. Apabila perniagaan kecil mempunyai alat yang betul untuk memperluas jangkauan dan memperkukuh kehadiran mereka dalam dunia digital, kesannya melangkaui sekadar jualan. Ia membina komuniti yang lebih kukuh, hubungan yang lebih rapat, dan ekonomi digital yang lebih inklusif, berteraskan keterhubungan, kepercayaan dan keyakinan bersama bahawa kemajuan harus dirasai oleh semua. – UTUSAN
Pengasas Enginemailer, Jeffri Shahul Hamid



