BUTTERWORTH : Jumlah pendaftaran bagi Sistem Pangkalan Data Nexbyte (PADU) diramal terus meningkat kerana lebih ramai rakyat dijangka membuat kemas kini serta pengesahan pada saat akhir iaitu sebelum hujung bulan ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ketika ini, pendaftaran menerusi portal itu direkodkan meningkat apabila lebih 300,000 orang mengemas kini data masing-masing setiap hari.
Kata Mohd. Uzir, pihaknya memahami sikap kebanyakan individu yang gemar melakukan pendaftaran pada saat akhir, justeru, beliau menjangkakan jumlah pendaftaran akan semakin bertambah untuk tempoh berbaki satu minggu lagi.
“Memang selari dengan kebiasaan rakyat yang merasakan masih ada masa tapi kita tak nak terjerat dan terperangkap di saat akhir sebab kita mengetahui kita mempunyai lebar jalur (bandwidth) yang ada limitasi.
“Bagaimanapun, kita telah bersedia dengan sebarang kemungkinan dengan meningkatkan lebar jalur bagi mengelakkan kesesakan aliran trafik dalam portal PADU ini.
“Setakat ini, sistem berjalan lancar, malah, saya merasakan ia satu pencapaian yang boleh dibanggakan kerana portal ini tidak pernah terhenti walaupun satu minit dan dapat digunakan selama 24 jam sejak ia dilancarkan.
“Ini satu perkara yang boleh menghasilkan satu momentum kepada perkhidmatan awam bila mana sistem yang dibina tanpa menggunakan pihak ketiga malah dibina sendiri pihak kakitangan awam jelas berupaya memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Cuma, dari segi pengisian maklumat ia masih memerlukan kerjasama masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program ‘PADU Hour Mega’ yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze di Dewan Terbuka Taman Tanjung Indah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, sebanyak 37 peratus atau kira-kira 404,000 penduduk di Pulau Pinang sudah membuat pendaftaran PADU setakat ini.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, pihaknya bersedia merancakkan lagi program-program fizikal selain turun ke lapangan dengan lebih kerap bagi membantu kelompok daerah atau kawasan yang memerlukan.
“Bagi yang belum mendaftar, mereka boleh berbuat demikian pada bila-bila masa tidak kira siang atau malam.
“Dalam hal ini, kita memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk memastikan data dan maklumat mereka dikemaskini supaya analisis berkaitan dapat dilaksanakan sekali gus membantu memudahkan kerajaan untuk melihat apakah langkah sewajarnya yang boleh diambil untuk meningkatkan taraf hidup, ekonomi, sosial rakyat,” katanya.-UTUSAN






