KUALA NERUS : Penduduk sekitar kawasan perumahan berdekatan Tok Jembal, di sini gempar dengan kehadiran seekor beruang matahari yang dipercayai tersesat di kawasan itu semalam.
Ia susulan tularnya sebuah video yang dirakam seorang individu yang memaparkan gelagat beruang matahari itu cuba memanjat pagar di kawasan tersebut.
Video berdurasi 21 saat itu mula dimuat naik oleh pengguna Facebook dengan nama ‘Ryu Watanabe’ pada Selasa dan terus tular setelah dikongsi lagi oleh sebuah akaun media sosial, semalam.
Kebanyakan pengguna Facebook meninggalkan komen yang menyatakan kebimbangan mereka terhadap ancaman keselamatan memandangkan beruang matahari itu masih belum dapat ditangkap.
Mereka berharap, haiwan liar itu dapat ditangkap segera oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu dan dilepaskan semula ke habitat asalnya.
Seorang pengguna Facebook dengan nama Mastura Love meninggalkan komen berkemungkinan beruang matahari itu keluar dari hutan kerana musim kering dan cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.
“Cuaca panas sekarang ini semua haiwan keluar dari hutan nak cari tempat selesa,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna Facebook dengan nama Pak Sudir pula berharap haiwan liar itu dapat diselamatkan dan tinggal di habitatnya bersama kawanannya yang lain.
“Kesian pada beruang… musim kemarau macam ini banyak semak samun terbakar di sekitar Kuala Nerus. Ditambah pula cuaca panas terik dan kering mungkin beruang cari rumah baharu,” tulisnya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi pula berkata, sekumpulan petugas telah digerakkan ke lokasi untuk mencari beruang matahari itu.
Menurutnya, usaha memantau pergerakan beruang itu masih dijalankan sehingga kini dan berharap orang ramai dapat memberi maklumat segera jika terserempak dengan haiwan liar tersebut.
“Kita tidak menolak kemungkinan beruang matahari itu datang dari Hutan Simpan Kekal Belara yang terletak berdekatan.
“Ada pelbagai kemungkinan yang mendorong beruang matahari itu sesat di kawasan tersebut dan Perhilitan Terengganu akan terus mencari jejaknya untuk dilepaskan semula ke habitat asal,” katanya. – UTUSAN






