SHAH ALAM: Tiada perkembangan baharu daripada polis diterima bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli berhubung siasatan terhadap ancaman yang diterima anaknya.
Beliau berkata, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan apa-apa oleh pihak berkuasa dan hanya mengetahui perkembangan melalui laporan berita.
“Saya tak tahu apa yang berlaku dan tidak diberi sebarang maklumat rasmi. Setakat yang dilaporkan oleh media, saya (pun) masih belum menerima laporan kimia (chemical report). Itu sahaja setakat ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis pembukaan Fleximart, hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, beliau belum membangkitkan isu berkenaan di Parlimen kerana mahu memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan, namun tidak menolak untuk menyoal pihak berkuasa apabila tiba masanya.
“Sudah lebih tiga bulan, tetapi saya juga masih belum dengar apa-apa laporan. Sebagai warganegara, saya rasa penting untuk PDRM dan kementerian berkaitan mengurus persepsi awam dengan betul.
“Ketiadaan laporan dan perkembangan kes seperti ini boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap sistem penyiasatan, terutama apabila ia melibatkan keselamatan keluarga.
“Kalau saya, sebagai bekas menteri juga masih belum terima laporan, bayangkan rakyat biasa. Lama-lama persepsi orang akan sampai ke tahap mereka mula persoalkan sistem itu sendiri,” jelasnya.
Tambah Rafizi, keadaan kesihatan anaknya kini dipantau rapi dan masih terlalu awal untuk menentukan jika berlaku sebarang perubahan terhadap kesihatan anaknya.
Sementara itu, mengulas mengenai saman fitnah yang difailkan oleh ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Rafizi berkata, beliau masih belum menerima sebarang dokumen saman daripada pihak berkenaan.
“Saya belum dengar apa-apa daripada peguam saya. Biasanya kalau seseorang mahu saman, dia perlu serahkan dokumen itu secara peribadi selepas difailkan di mahkamah.
“Mungkin mereka sudah failkan secara elektronik atau sedang buat pindaan. Selepas selesai barulah mereka akan serahkan. Tetapi, buat masa sekarang memang belum ada sebarang serahan lagi,” ujarnya. – UTUSAN






