KLANG: Pembinaan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) berisiko lewat apabila tanah yang terlibat dalam projek itu di Gombak berhadapan tindakan kaveat daripada mereka yang menduduki tanah itu.
Ini ekoran 18 lot tanah berkeluasan kira-kira 1.3 hektar di Jalan Bentong-Kuala Lumpur dekat Gombak dikatakan telah dijual sejak 12 tahun lalu.
Malah projek itu juga mendedahkan tentang status tanah itu yang masih kekal sebagai pertanian dan tidak berlaku pindah milik walaupun ia telah dijual dengan perjanjian jual beli (S&P) sudah selesai serta transaksi pembayaran dibuat.
Situasi tersebut sekali gus menyebabkan tapak seluas kira-kira 22,000 kaki persegi membabitkan enam lot tanah yang termasuk dalam pelan pembinaan ECRL, masih gagal diperoleh pemaju projek itu bagi meneruskan pembinaan jajaran menghubungkan negeri ini dengan Pahang.
Disebabkan pertindihan pertikaian itu, pembeli memfailkan kaveat terhadap lot yang dibeli pada 2012 pada harga sehingga RM225,000 bagi melindungi kepentingan mereka.
Bahkan, mereka mendakwa diugut pemilik tanah melalui surat tuntutan supaya menarik semula kaveat tersebut atau berdepan tuntutan RM200,000 sehari bermula hari pertama ia diperoleh.
Pertikaian tersebut timbul apabila pemilik asal yang merupakan sebuah koperasi dikatakan cuba menuntut pampasan daripada penebusan tanah berkenaan sehingga menjejaskan tuntutan pembeli.
Perkara itu didedahkan peguam Ratna Sheamala Dewi dari firma guaman Ratna & Associates yang mewakili sebahagian besar pemilik yang menasihatkan mereka supaya memfailkan kaveat untuk melindungi kepentingan terhadap lot tersebut apabila tidak diberikan geran.
Menurutnya, terdapat perjanjian antara koperasi berkenaan dengan sebuah syarikat pemaju bagi memajukan tanah tersebut dan bersetuju hartanah itu dipecahkan kepada lot-lot lebih kecil sebelum dijual untuk tujuan pembinaan rumah.
“Selama 12 tahun sebenarnya mereka kena scam. Beli tanah tetapi sampai sekarang masih tiada geran menyebabkan pemilik tidak dapat membina rumah kerana tanah masih berstatus pertanian, sedangkan pemaju berjanji untuk tukar status kepada kediaman.
“Puncanya, sebuah syarikat pemaju dan koperasi berkenaan bersetuju memajukan tanah tersebut. Kemudian dijual dalam tempoh dua tahun antara 2012 hingga 2013 dan ada pembeli. Walaupun pembelian dibuat secara sah dan ada S&P serta resit transaksi tetapi geran tidak diberi.
“Mujur ada projek ECRL, kalau tidak entah berapa puluh tahun lagi pemilik terpaksa menunggu untuk mendapatkan geran serta membina rumah idaman mereka,” katanya ketika ditemui Nexbyte bersama rakan pasukannya, Vet. Manvir Siddhu yang juga Penasihat Undang Undang Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia.
Malah, beliau turut mendedahkan dakwaan pemilik cuma diberi tawaran pampasan oleh koperasi berkenaan sekitar RM20,000 hingga RM30,000 berbanding ratusan ribu ringgit nilai hartanah berkenaan.
Jelas Ratna, tawaran tersebut adalah helah koperasi terbabit dipercayai cuba mengaut keuntungan melalui pampasan daripada projek ECRL
“Isu perjanjian antara pemaju dengan koperasi tidak sepatutnya melibatkan pembeli atau beneficiary (penerima manfaat) kerana hartanah tersebut dibeli secara sah dan bayarannya dibuat.
“Tiba-tiba koperasi terbabit mendakwa tiada perjanjian dengan pemaju untuk menjual hartanah berkenaan dan menegaskan ia masih dimiliki secara sah dan mahu menerima pampasan atau menjadi beneficiary,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pembeli dikenali sebagai Muthu, 44, memberitahu, dia menyedari keadaan tersebut selepas mendapati pemaju mengosongkan pejabat mereka di Selayang sekitar tahun 2012 hingga 2013.
Dalam pada itu, Koperasi Pusat Islam Malaysia (KOPIM) menafikan mereka memeterai perjanjian dengan AZ Land Development Sdn. Bhd. (AZ Land) bagi menjual 18 lot tanah kepada pembeli yang bakal diambil bagi pembinaan projek ECRL.
KOPIM berkata, syarikat tersebut didakwa ditubuhkan untuk membeli tanah milik mereka seluas kira-kira 1.3 hektar atau 13,000 meter persegi itu dan meminta bayaran dibuat secara berperingkat.
“Tetapi pembelian itu dibuat dengan ihsan koperasi apabila mereka meminta membuat pembayaran secara berjadual. KOPIM asalnya tidak setuju, namun memandangkan ia syarikat Melayu, maka KOPIM beri ihsan dan buat pembayaran secara berperingkat, tetapi sampai masa mereka tidak bayar.
“Kemudian, koperasi beri surat wakil (PA), tetapi ia cuma melibatkan urusan pentadbiran tanah bukan untuk menjual kepada orang ketiga,” katanya kepada Nexbyte.
Malah, koperasi itu mendakwa, syarikat pemaju tersebut dipercayai menandatangani perjanjian jual beli dengan pembeli dan mengetepikan KOPIM sebagai pemilik asal tanah tersebut.
“Perjanjian (yang ada) adalah antara pembeli dengan pemaju sahaja, koperasi diletakkan dalam juga tetapi pemaju yang tanda tangan perjanjian antara mereka dengan pembeli.
“Jadi, dekat situ sudah salah, pemaju menggunakan nama koperasi untuk menjual lot-lot kecil. Mereka tahu tanah itu…ialah minta dizonkan sebagai kawasan perumahan.
“Lepas itu, apabila hendak pecah sempadan banyak proses perlu dilakukan seperti bayaran premium, dan sebagainya. Mereka tidak memenuhi syarat-syarat tersebut itulah yang masalahnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, wakil AZ Land menegaskan, wujud perjanjian antara mereka dengan KOPIM untuk urusan pecah lot dan menjualnya kepada pihak ketiga kira-kira 18 orang.
Menurutnya, hal tersebut turut dinyatakan dalam PA yang diberikan KOPIM kepada mereka bagi memajukan tanah di Jalan Bentong – Kuala Lumpur, Gombak itu.
Bagaimanapun, syarikat terbabit menegaskan, isu sebenar berbangkit adalah soal pengagihan pampasan serta pengambilalihan tanah oleh pemaju ECRL yang cuma melibatkan enam daripada 19 lot tanah seperti di dalam pelan.
“Sebelum ini, kita cuba untuk jual tanah tersebut (dalam tempoh 12 tahun) kita bersetuju dengan pembeli dan koperasi, kita hendak jual tanah tersebut dan apa hasil jualannya kita pulangkan kembali kepada mereka.
“Tetapi masalahnya, kita masih tak dapat pembeli, sehinggalah sekarang ini ECRL hendak ambil hanya sebahagian, kalau mereka ambil semua selesai terus, insya-Allah.
“Bila ambil sebahagian, itu yang koperasi tulis surat kepada Kementerian Kewangan dan meminta jasa baik mereka untuk beli keseluruhan tanah,” jelasnya. – UTUSAN






