PETALING JAYA: Tindakan seorang lelaki ‘melanggar’ lampu isyarat merah mengakibatkan motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah motosikal lain di Jalan Greenwood-Batu Caves dekat sini semalam.
Kejadian pada 8 pagi itu membabitkan dua motosikal, jenis Yamaha Y15ZR ditunggang remaja berusia 19 tahun dan sebuah Yamaha Lagenda.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, motosikal jenis Lagenda ditunggang lelaki tempatan berusia 53 tahun dari arah Greenwood menuju Selayang.
“Setibanya di persimpangan lampu isyarat, lelaki itu tidak berhenti di lampu isyarat merah lalu bertembung dengan motosikal Y15ZR ditunggang remaja terbabit yang sedang membelok dari arah bertentangan.
“Kedua-dua penunggang motosikal mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan.
“Sebarang maklumat berkaitan juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Rumuna Desa di talian 0163566289 atau Bilik Gerakan Daerah Gombak 0361262222,” katanya. – UTUSAN






