KUALA NERUS: Sejumlah 2,499 kes tangkapan ular telah direkodkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Pengarah APM Terengganu, Mohd. Rosman Abdullah, berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 738 kes dilaporkan pada Januari, 939 kes (Februari) dan 822 kes (Mac).
Beliau berkata, jumlah kes tangkapan reptilia berbisa itu dijangka terus meningkat ekoran cuaca kering dan panas melampau ketika ini yang menyebabkan ular keluar dari habitat asalnya.
Menurutnya, majoriti kes diterima membabitkan tangkapan ular di dalam rumah kediaman, kandang ternakan serta kebun dengan spesies ular sawa, tedung dan selar paling banyak ditangkap.
Tambahnya, APM negeri turut menjangkakan lebih banyak aduan susulan ramalan cuaca tidak menentu atau fasa peralihan monsun bagi menandakan berakhir musim Monsun Timur Laut (MTL).
“Apabila berada dalam cuaca panas melampau atau reptilia ini berasa terancam menyebabkan ia keluar dari habitat asal dan memasuki rumah atau kawasan sekeliling kediaman.
“Orang ramai dinasihatkan agar menjaga kebersihan di tempat tinggal masing-masing selain lebih berwaspada kerana ular suka bersarang di tempat kotor atau bersemak,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tambah beliau, sebagai perbandingan sepanjang 2023 pula 7,023 tangkapan ular dicatatkan dengan daerah Kuala Terengganu paling banyak iaitu 2,444 kes diikuti Marang (1,065 kes) dan Dungun (973 kes).
Jelasnya, semua ular yang ditangkap dibawa ke Ibu Pejabat APM di sini sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk dilepaskan ke habitat asal.
“Kehadiran reptilia berbisa ini bukan sahaja banyak direkodkan ketika cuaca panas tetapi turut bergerak aktif pada musim hujan, jadi orang ramai perlu sentiasa berwaspada dengan persekitaran,” katanya. – UTUSAN






