BUTTERWORTH : Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tujuh pertuduhan menipu seorang individu berhubung pelaburan projek perumahan dan rumah kedai tidak wujud yang membabitkan kerugian berjumlah RM580,000, enam tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Kamal Akbar Ramin@Abd Rahim, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.
Berdasarkan ketujuh-ketujuh pertuduhan, tertuduh didakwa telah menipu Ibrahim Romli, 53, dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai akan menerima keuntungan atas pelaburan projek perumahan PPR berbilang tingkat dan rumah kedai yang masing-masing tidak wujud di Mukim Kuantan dan Golf Garden, Jawi.
Ia menyebabkan tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan cek berjumlah RM580,000 atas nama syarikat Akar Bina Teguh Sdn. Bhd. yang mana mangsa tidak akan berikan sekiranya tidak diperdaya sedemikian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Perniagaan Tasek Gelugor antara 8 hingga 24 September 2018.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara tempoh satu hingga 10 tahun selain dikenakan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Asma’ ‘Amira Shahidani menawarkan wang jaminan sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, (YBGK) Ima Syakira Mohd Salim yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar jaminan minimum dikenakan dengan alasan anak guamnya tiada pendapatan tetap dan memiliki sepuluh orang anak di mana tujuh daripadanya masih kecil dan bersekolah.
Majistret Siti Zulaikha kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM56,000 dengan seorang penjamin untuk ketujuh-tujuh pertuduhan.
Pada masa yang sama, beliau turut menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.-UTUSAN






