HULU SELANGOR: Kerja-kerja membaik pulih cerun di Jalan Batang Kali-Genting yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh pada Disember 2022 dijangka siap pada 30 Jun ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek yang menelas kos RM19 juta itu sudah memasuki fasa akhir iaitu lebih 86 peratus.
Menurut beliau, projek tersebur menghadapi kelewatan sebelum ini ekoran pihak kontraktor gagal menerima pembekalan bahan binaan ‘wall system’ (sistem dinding bertingkat) mengikut jadual ditetapkan.
“Namun begitu, kontraktor memberi komitmen untuk menyiapkan kerja dengan penambahan pekerja dan jentera di tapak sebagai langkah penyelesaian.
“Jangkaan tarikh siap adalah pada akhir Jun ini termasuk dengan pembukaan semula laluan tersebut kepada semua pengguna jalan raya yang dijadualkan pada 1 Julai,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau kemajuan Projek Baik Pulih Cerun Laluan B66, Jalan Batang Kali-Genting, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, kejadian tanah runtuh yang berlaku di jalan tersebut mengorbankan 31 nyawa yang berpunca daripada hujan lebat yang kemudiannya menyebabkan kegagalan cerun.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, laluan tersebut yang ditutup sejak 29 Mei tahun lalu hanya dibuka kepada pengguna jalan raya yang bekerja di Kawasan Genting dengan pengesahan surat majikan masing-masing.
“Saya harap sehari selepasnya kita buka (untuk digunakan oleh orang awam). Saya menetapkan 1 Julai untuk penggunaan orang awam,” katanya. – UTUSAN






