PETALING JAYA: Sebanyak 48,526 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan hari ini termasuk 13,703 pengundi akan memilih bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Kesemua 36 pusat pengundian membabitkan 117 saluran, akan dibuka dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang kecuali 25 pusat pengundian yang dijangka ditutup lebih awal mengikut jadual tertentu.
Antara pusat pengundian yang dijangka ditutup lebih awal ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Inarad dan SK Sri Ganda pada pukul 12 tengah hari, diikuti beberapa pusat lain antara 1 hingga 5 petang.
SK Pulau Lubukan adalah satu-satunya pusat pengundian yang dijangka ditutup pada 4 petang, diikuti SK Menanam, SK Sogo-Sogo, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Entilibon, SK Pekan Tongod dan SK Batu Puteh, 5 petang.
Selain itu, 11 pusat pengundian terakhir dijangka ditutup pada pukul 5.30 petang.
Parlimen Kinabatangan merangkumi tiga DUN iaitu Sukau, Lamag dan Kuamut. Proses penjumlahan undi akan dijalankan di Dewan Sri Lamag.
Pada Selasa lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan 93 peratus atau 176 anggota polis telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi kedua-dua PRK.
Bagi PRK Parlimen Kinabatangan, persaingan menyaksikan tiga penjuru dengan Mohd. Naim Kurniawan Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas)
Manakala bagi DUN Lamag, pertandingan adalah satu lawan satu antara Mohd. Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK kali ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN) pada 5 Disember tahun lalu.
Kesemua lima calon akan mengundi pada PRK berkenaan di tempat masing-masing dengan Mohd. Kurniawan Naim akan mengundi di SK Bilit, Saddi (SK Batu Puteh), Goldam (SK Pekan Tongod), Mohd. Ismail (SK Bukit Garam II) dan Mazliwati di SK Buang Sayang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi, menewaskan Mazliwati daripada Warisan.
Beliau juga menang dalam saingan lima penjuru di DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah 29 November lepas, dengan majoriti 153 undi. – UTUSAN






