KUALA TERENGGANU: Bekas ahli majlis agensi kerajaan negeri ini berpangkat Datuk dan isterinya didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan salah guna kuasa dan tuntutan wakalah palsu hampir RM20,000 sejak 2019.
Mohamad Zahari Harun, 64, dan isterinya, Lydia Irmawati Mahmud, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.
Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Zahari didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Jawatankuasa Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Lelaki itu telah mengambil bahagian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Zakat MAIDAM dengan melantik Syarikat Amcare Agency milik isterinya sebagai ejen kutipan zakat pada 23 September 2019.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 Akta 694.
Lydia Irmawati pula didakwa atas lapan pertuduhan dengan curang mengemukakan tuntutan palsu bagi bayaran balik bahagian fakir miskin kepada MAIDAM berjumlah keseluruhan RM19,857.21.
Wanita terbabit didakwa melakukan kesalahan antara 20 Mac 2020 sehingga September 2021 dan bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu.
Jika sabit kesalahan, Lydia Irmawati boleh dikenakan hukuman penjara satu sehingga 10 tahun, sebat dan denda.
Sebaik merekodkan pengakuan tidak bersalah itu, mahkamah membenarkan Mohamad Zahari diikat jamin RM7,000 manakala isterinya RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan tertuduh tidak menganggu saksi pendakwaan, menyerahkan passport serta melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan sehingga perbicaraan selesai.
Hakim kemudian menetapkan 20 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork. – UTUSAN





